Pengusaha F&B mahu proses mohon lesen lebih lancar
Iklan
PENGUSAHA makanan dan minuman (F&B) berdepan cabaran besar untuk mendapatkan lesen yang diperlukan bagi memulakan perniagaan mereka disebabkan karenah birokrasi yang menyusahkan, kata pemain industri.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight yang lebih banyak penjelasan diperlukan daripada pihak berkuasa untuk proses permohonan itu.
Naib Presiden Persatuan Pemilik Bistro dan Restoran Jeremy Lim berkata proses itu tidak mudah, kerana mereka perlu melalui pelbagai saluran dengan majlis kerajaan tempatan dan jabatan berlainan untuk mendapatkan lesen.
“Atas kertas nampak mudah, tapi realitinya agak susah. Kita ada undang-undang lapuk dan ketinggalan zaman,” katanya yang juga pegawai perhubungan media persatuan tersebut kepada The Malaysian Insight.
Misalnya, di atas kertas dinyatakan tempoh mendapatkan lesen hanyalah antara 24 hingga 48 jam, tetapi realitinya tidak semudah itu kerana setiap majlis kerajaan tempatan mempunyai syarat yang berbeza, tambahnya.
Dalam sebilangan kes, pemohon perlu menunjukkan yang proses ubah suai premis perniagaan sudah 90% siap sebelum permohonan boleh dibuat.
“Ia mengarut sebab kami terpaksa memohon lesen selepas menyewa premis, tandatangan perjanjian sewa dan mengambil pekerja.
“Apa jadi kalau majlis tolak permohonan?” soalnya.
Lim berkata lagi, langkah pertama untuk F&B beroperasi adalah mendapatkan lesen.
“Langkah pertama untuk membuka premis F&B adalah mendapatkan lesen yang akan menentukan sama ada ia adalah pub, restoran atau pusat hiburan.
“Dan jika kedai itu jual alkohol, kita perlu mohon lesen arak pula.”
Katanya, hanya selepas lesen itu diluluskan, barulah pengusaha boleh memohon lesen hiburan seperti karaoke, kumpulan muzik, DJ dan sebagainya.
Bagi lesen arak pula, katanya ia sangat bergantung kepada mesyuarat tiga pihak melibatkan majlis kerajaan tempatan, polis dan kastam untuk mendapatkan kebenaran beroperasi.
“Jika tidak ada sebarang masalah, kemudian kastam dan majlis luluskan, barulah lesen akan dikeluarkan.
“Tapi, masalahnya mesyuarat tiga pihak kadang-kadang diadakan sebulan sekali, kadang kala hanya dua atau tiga kali setahun.
“Jadi, jika kita mahu mulakan perniagaan misalnya pada Januari, kita tak boleh buka kerana perlu tunggu mesyuarat diadakan untuk dapat kebenaran lesen arak,” katanya. – 20 Julai, 2022.