Iklan

Anwar yakin Rafizi akan patuh keputusan parti

Pkr congress 160722 tmiseth 026
Anwar berkata Rafizi perlu tumpu kepada menyerang musuh dan perkuatkan parti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 16 Julai, 2022.
Iklan

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim dilihat meredakan ketegangan susulan kenyataan Timbalan Presiden Rafizi Ramli yang dilihat berbeza pendapat dalam soal membuka pintu jalinan bersama parti pembangkang lain.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata perbezaan pendapat yang diutarakan Rafizi adalah lumrah bekas Ahli Parlimen Pandan itu.

“Saya tidak mahu panjangkan isu ini kerana ini Rafizi, kalau dia tidak gunakan suaranya untuk menyinggung sikit-sikit itu bukan dia. Saya harap mudah-mudahan dalam beberapa perbincangan awal kita pujuk dia supaya redakan hal ini dan tumpu menyerang musuh, tumpu perkuatkan parti bila dia sibuk bab itu dia tidak nampak sangat masalah dalaman parti.

“Kerana masalah dalaman boleh bincang, kritik, sanggah, bantah dalam forum dalaman, itu adab jemaah yang konsensus pimpinan,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas selesai hari pertama Kongres Nasional PKR di Shah Alam, petang tadi.

Tambah ahli Parlimen Port Dickson itu yang paling mustahak adalah Rafizi bersama dalam pasukan kepimpinan.

“Kalau dengar tadi proses perwakilan 90% bicara hal sama iaitu mesti ada disiplin dan adab dalam jemaah.

“Tapi ini tidak akan berterusan saya kenal Rafizi saya tahu dia pun ada sikap yang positif dia tahu fokusnya, peranannya, dia bukan lagi Rafizi di pinggiran dulu,” katanya.

Rafizi antara pemimpin awal yang tidak bersetuju idea kerjasama gagasan khemah besar pembangkang malah mengulangi bantahannya sejurus ucapan dasar Anwar yang menyentuh soal jalinan kerjasama antara pembangkang.

Beliau juga membangkitkan akar umbi PKR menolak idea gagasan berkenaan dengan mengatakan keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sayap Angkatan Muda dan Wanita PKR dimenangi kumpulan yang tidak bersetuju dengan perkara itu. 

Anwar bagaimanapun berkata isu itu tidak menegangkan hubungan antara kedua-dua mereka.

“Jadi saya tidak lihat sebagai masalah yang besar, kerana yang pentingnya beliau bersetuju bersama dalam pasukan bekerjasama dan memberikan sokongan dan tidak mahu perti ini dianggap terlalu lembap, itu tidak ada masalah.

“Elok kita tumpu kepada bentuk persefahaman yang penting, saya ambil sikap yang positif,” tambah Anwar lagi.

Malah Anwar percaya Rafizi akan menurut kehendak parti memandangkan beliau kini merupakan sebahagian daripada anggota pimpinan.

“Sekarang Rafizi di dalam barisan pimpinan jadi dia harus terima kenyataan bahawa sebahagian tugas saya harus serah kepada dia dia akan dipertanggungjawabkan secara langsung, bukan lagi Anwar atau Saifuddin Nasution atau pimpinan yang lain,” kata Anwar. – 16 Julai, 2022.

Iklan
Iklan