Perlu lebih banyak kereta api atasi kelewatan, kata kesatuan sekerja KTMB
Iklan
BILANGAN kereta api tidak mencukupi adalah sebab utama penumpang berdepan kelewatan kerana jadual perjalanan yang tidak tersusun, kata Presiden Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu (RUM) Razak Md Hassan.
Beliau berkata Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hanya mempunyai 25 buah kereta api yang beroperasi pada masa sekarang, bilangan yang terlalu kecil dalam memberi perkhidmatan cekap kepada jumlah penumpang yang semakin meningkat.
Tambahnya, bagi mengatasi isu kelewatan dan gangguan perkhidmatan, Putrajaya perlu menambah lebih banyak kereta api.
Razak berkata disebabkan kekurangan perkhidmatan, ada penumpang yang terpaksa menunggu sehingga 40 minit untuk menaiki kereta api, sedangkan kekerapan ketibaan kereta api sepatutnya satu setiap 10 minit.
“Bagi memastikan kekerapan kereta api dan memenuhi keperluan pengguna, kereta api perlu bergerak dalam selang masa 10 minit.
“Sekarang KTMB ada 36 keretapi tetapi hanya 25 yang beroperasi kerana bakinya perlu dibaiki dan diselenggara,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Jelas Razak, semua kereta api milik KTMB kini memang perlu diselenggara kerana ia sudah melebihi jarak penggunaan.
“Dibandingkan dengan MRT 2 yang sepanjang 50 km, ia dibekalkan dengan 48 kereta api berbanding dengan KTMB yang mempunyai jarak perjalanan lebih panjang.”
Katanya, anggaran harga untuk satu kereta api enam gerabak adalah sekitar AS13.2 juta (RM58.7 juta) atau 30 keretapi enam gerabak sekitar AS$396 juta.
Gangguan perjalanan mula dirasai secara berperingkat apabila projek Klang Valley Dual Track (KVDT 1) bermula, dakwanya lagi.
“Jadual kereta api terganggu apabila projek di bawah KVDT tidak disiapkan sepenuhnya.
“Sekarang projek itu sudah siap, ada pula projek KVDT 2. Ini kami percaya akan ambil masa antara lima hingga tujuh tahun untuk disiapkan.”
Dengan projek KDVT 1 sudah siap dan KVDT 2 akan bermula, Razak bertanyakan pelan kerajaan untuk menyediakan kereta api apabila projek itu siap sepenuhnya.
Menurutnya, jika kerajaan membeli lebih banyak kereta api, kekerapan perkhidmatan dijangka dapat dikurangkan kepada 10 minit.
“Perolehan kereta api akan ambil masa. Kerajaan juga perlu tengok sama ada mereka ada peruntukan.
“Berapa lama untuk Kementerian Pengangkutan untuk buka tender terbuka (untuk beli kereta api)? Kami melihat ada tempoh sekurang-kurangnya tiga hingga empat tahun sebelum kita dapat kereta api ini.
“Kami harap menteri (Wee Ka Siong) boleh tangani isu ini seberapa segera.”
RUM juga sedang menjalankan kajian keperluan dan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Ogos ini.
“Ia (memorandum) untuk menggesa kerajaan mempertimbangkan penyediaan kereta api (baru) bagi menangani isu ini bagi kemudahan pengguna.
“Semua orang tahu masalah dihadapi pengguna kereta api, termasuk kerajaan.”
Tambahnya sebelum projek KVDT dimulakan pada 2016, jumlah pengguna menggunakan perkhidmatan KTM adalah 120,000 orang sehari.
“Semasa pandemik, kita ada 12,000 orang. Sekarang kita terima lebih kurang 28,000 pengguna kereta api setiap hari.” – 17 Julai, 2022.