Iklan

Rafizi umpama Panadol, kata Anwar

Pkr congress 170722 tmiseth 025
Anwar Ibrahim berkata tidak berkecil hati dengan kenyataan dan pendirian Rafizi Ramli yang kadang kala berbeza dari pendiriannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 17 Julai, 2022.
Iklan

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim menganggap kehadiran Rafizi Ramli dalam barisan pemimpin sebagai timbalannya kali ini sebagai penawar kepada masalah dihadapinya kini dalam parti.

Beliau mengakui Rafizi memang sinonim dengan kenyataan kontroversi yang memberi masalah kepadanya, namun menurutnya bekas ahli Parlimen Pandan itu bekerja keras demi PKR.

“Memang kontroversi, kadang-kadang pening saya. Rupa-rupanya dia datang bagi ucapan bagi Panadol hilang pening saya.

“Kemahiran kepintaran kerja memang luar biasa. Sebab itu ada singgungan sikit-sikit saya kata sabar sajalah. Orang kuat kerja bagi pandangan dan singgungan memang memeningkan sikit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penangguhan sewaktu majlis penutup Kongres Nasional PKR ke-16 di Shah Alam, hari ini.

Ia menjawab saranan Rafizi dalam ucapan terdahulu yang meminta Anwar tidak berkecil hati dengan kenyataan lantangnya.

Mengulas isu itu, Anwar menegaskan beliau tidak berkecil hati dengan kenyataan dan pendirian Rafizi yang kadang kala berbeza dari pendiriannya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu seterusnya mengingatkan penyokong dan ahli agar memahami niat baik Rafizi.

“Tapi saya nak jamin saya tak kecil hati kerana saya tahu niatnya baik. Masalahnya penyokong bebal begitu ramai. Lesing baru tahu,” katanya berseloroh.

Jelasnya penyokong berkenaan tidak memahami prinsip berbeza pandangan dan prinsip menolak golongan pengkhianat dan penjenayah.

“Mereka tak faham semangat ukhuwah persaudaraan itu tebal, perbezaan ada tapi bukan orang khianat.

“Ada beza orang keras berpendapat dalam isu sanggah tapi bukan khianat, perompak, dan perasuah,” katanya.

Tambahnya, beliau lega kerana Rafizi mahu menyerang lawan dan bukan ke atas sesama sendiri.

“Yang diajak perang orang rasuah dan khianat tumpu ke arah itu, ini sebabkan saya rasa lega, dan bersyukur.

“Kita ada barisan pimpinan muda, baru, tetapi orang yang harus mengekalkan semangat persaudaraan ini cabaran kepada anak muda,” kata Anwar.

Ia merujuk kenyataan Rafizi untuk memusatkan serangan ke atas bekas perdana menteri Najib Razak.

Rafizi bergeser dengan Anwar dengan menolak syor dan idea gagasan khemah besar bagi membentuk kerjasama lebih besar dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Seramai 13 pemenang dalam pemilihan Majlis Pimpinan Pusat PKR semalam terdiri dari kalangan calon pilihan Rafizi yang turut menolak gagasan berkenaan.

Dalam sidang medianya selepas itu, Anwar menegaskan beliau tidak pernah menggembar-gemburkan mengenai idea gagasan khemah besar tersebut.

Namun tugasnya sebagai ketua pembangkang di Parlimen menuntut beliau untuk mengadakan jalinan dengan parti-parti pembangkang, katanya.

Jelasnya, kerjasama bagaimanapun tidak akan diadakan dengan golongan yang sudahpun mengkhianat Pakatan Harapan (PH) dan tidak mendukung agenda reformasi.

“Khemah besar dalam erti kata jalin kesefahamanan dan pakatan dengan golongan yang dah khianat dan jelas tak wakili agenda reformasi itu tentunya tak dapat diteruskan,” kata Anwar.

Rafizi pula dalam sidang media sama menegaskan kerjasama bersama parti tertentu juga tidak seharusnya menjadi agenda utama kempen pilihan raya PH.

“Kalau ada kawasan tertentu di Sabah dan Sarawak yang mereka menolak Umno dan Barisan Nasional, dan mereka tak terpalit rasuah boleh menambah nilai tambah sudah tentu itu boleh dibincang tapi bukan sehingga ia jadi strategi utama masuk PRU15.

“Strateginya kita PH dan PKR sebagai tukang belakang kembali menjadi penyelesaian dan membuat penawaran tak lari dari landasan, kalau parti lain nak kerjasama tertakluk semua itu,” katanya.

Beliau tidak mahu pengalaman lepas sewaktu PRU14 melalui kerjasama dengan Bersatu memgakibatkan PH terpaksa berkompromi dalam beberapa hal yang merugikan parti.

“Itu mengelakkan pengalaman lepas hingga terpaksa berkompromi beberapa perkara,” tambahnya.– 17 Julai, 2022.

Iklan
Iklan