Iklan

Malaysia tak mampu tambah hutang, kata Tengku Zafrul

Chan Kok Leong2 years ago19th Jul 2022Berita
Tengku zafrul  full
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata walaupun ekonomi negara semakin pulih pada 2022namun pertumbuhan ekonomi tidak menjana hasil pertambahan yang sewajarnya untuk Malaysia menambah hutang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai, 2022.
Iklan

PERTUMBUHAN ekonomi negara tidak menjana hasil pertambahan yang sewajarnya untuk Malaysia menambah hutang, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Oleh itu kerajaan perlu terus menguruskan kewangan negara secara berhemah dan mengawal tahap hutang mengikut kemampuan, katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

“Nisbah bayaran hutang kepada hasil bagi Malaysia telah mencapai 16.3% pada 2021, dan berdasarkan kepada bajet tahun ini dijangka melebihi 18%. 

“Ini bermakna bagi setiap RM1 hasil kerajaan hampir 20 sen digunakan hanya untuk membayar faedah ataupun bunga hutang dan tidak mengambil kira keupayaan untuk membayar balik jumlah pokok pinjaman kerajaan,” kata Tengku Zafrul.

Beliau juga berkata keupayaan negara untuk menambah tahap keberhutangan adalah terhad berbanding negara lain.

“Jika dibandingkan dengan negara maju, nisbah bayaran hutang United Kingdom 6.6%, Amerika Syarikat 5.2% dan Jepun 4%.”

Di samping itu, nisbah peratusan cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia katanya berada pada kadar 11%, iaitu lebih rendah berbanding Filipina, Thailand dan Singapura.

“Filipina lebih kurang 18%, Thailand 17% dan Singapura lebih kurang 13%. 

“Secara purata nisbah peratusan cukai kepada KDNK negara anggota Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) lebih 33%.

“Ini bermakna walaupun ekonomi negara semakin pulih pada 2022, pertumbuhan ekonomi tersebut tidak menjana hasil tambahan yang sewajarnya untuk menampung penambahan hutang,” jelas Tengku Zafrul. 

Menteri itu menjawab soalan tambahan Ahmad Maslan (Pontian-BN) mengenai tahap hutang Malaysia dan apakah sumber baharu sebagai tambahan hasil negara bagi meneruskan subsidi bersasar.  – 19 Julai, 2022.

Iklan
Iklan