Iklan

Pakatan bantah monopoli 10 tahun Bernas 

Noel Achariam2 years ago20th Jul 2022Berita
Anwar
Presiden Pakatan Harapan Anwar Ibrahim berkata Bernas perlu menjawab bagaimana mereka akan mengagihkan keuntungan kepada pesawah dan persatuan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2022.
Iklan

PAKATAN Harapan menentang keras keputusan kerajaan melanjutkan konsesi Padiberas Nasional Bhd (Bernas) sebagai syarikat tunggal import beras selama 10 tahun lagi, kata Anwar Ibrahim.

Presiden PH berkata mereka akan menentang sebarang monopoli yang membunuh pesaing lain yang akan mengakibatkan kenaikan harga.

“Kami menentang sekeras-kerasnya keputusan untuk menganugerahkan konsesi kepada Bernas. Tender terbuka harus dilakukan.

“Kita mahu pastikan import dijalankan oleh syarikat yang boleh memberi pulangan kepada pesawah dan persatuan,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Semalam, kerajaan berkata mereka tidak akan berundur dengan keputusannya untuk melanjutkan konsesi Bernas.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee berkata keputusan membenarkan firma itu mempunyai prerogatif tunggal ke atas industri import beras sehingga Januari 2031 adalah muktamad.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat bahawa mereka akan dilihat sebagai kerajaan yang tidak bertanggungjawab jika menandatangani kontrak selama 10 tahun dan kemudian memutuskan untuk membatalkannya.

Soal monopoli adalah antara faktor yang dibincangkan secara terperinci dalam kabinet sebelum ini.

“Bagaimanapun, akhirnya kabinet dan kerajaan memutuskan untuk menyambung kontrak Bernas.”

Anwar berkata berdasarkan laporan, syarikat itu meraih RM1.2 bilion pada 2018, RM1.3 bilion (2019) dan RM 798 juta pada 2020.

“Pemegang saham juga mendapat dividen sebanyak RM670 juta. Tetapi dengan monopoli ini semua pulangan akan diberikan kepada syarikat.”

Ahli Parlimen Port Dickson berkata pada masa ini terdapat 150,000 petani yang terdiri daripada kategori miskin tegar.

“Pesawah dari seluruh negara sepatutnya dibenarkan mendapat sedikit ekuiti. Keuntungan (dari Bernas) adalah besar dan boleh memberi manfaat secara langsung kepada mereka.”

Anwar berkata, Bernas perlu menjawab bagaimana mereka akan mengagihkan keuntungan kepada pesawah dan persatuan.

Kerajaan sebelum ini bersetuju untuk melanjutkan tempoh konsesi selama 10 tahun bermula 11 Januari 2021 hingga 10 Januari 2031. Rang Undang-undang Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2022 diluluskan Dewan Rakyat hari ini. – 20 Julai, 2022.

Iklan
Iklan