Guan Eng gesa PM selesaikan isu pembekuan pekerja asing Indonesia
Iklan
KEDUDUKAN terkini Malaysia pada Tahap 3 dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) Amerika Syarikat (AS) bagi 2022, tidak memberi keyakinan dalam penyelesaian isu tenaga buruh dengan Indonesia, kata Lim Guan Eng.
Pengerusi DAP itu berkata penting bagi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bekerjasama dengan Presiden Indonesia (Joko Widodo) untuk menyelesaikan pembekuan kemasukan pekerja ke Malaysia.
“Laporan terbaru oleh AS tidak memberikan keyakinan bahawa Malaysia sedang mengambil langkah konkrit bagi menyelesaikan kebimbangan Indonesia untuk melindungi pekerja asing mereka.
“Ditambah dengan Duta Besar Indonesia yang mengecam Malaysia sebagai memalukan, terdapat defisit kepercayaan yang teruk yang hanya boleh diatasi melalui campur tangan terus perdana menteri,” kata Lim dalam satu kenyataan.
Minggu lalu, Indonesia mengenakan pembekuan sementara kemasukan semua pekerja ke Malaysia kerana melanggar memorandum persefahaman (MOU) mengenai pekerja domestik yang ditandatangani antara kedua-dua negara tiga bulan lalu.
Menurut Laporan Pemerdagangan Manusia, bagi tahun kedua berturut-turut, Malaysia kekal di Tahap 3 kerana gagal memenuhi piawaian minimum dalam usaha menghapuskan pemerdagangan manusia.
Malaysia berada bersama 21 negara lain termasuk Afghanistan, China, Syria, Sudan Selatan dan Venezuela.
Jabatan Negara AS berkata dalam laporan itu yang Putrajaya mengambil beberapa langkah, seperti meminda undang-undang antipemerdagangan manusia dan Akta Pekerjaan untuk memasukkan definisi buruh paksa yang lebih luas untuk menangani pemerdagangan, tetapi ia tidak mencukupi.
“Kerajaan Malaysia tidak memenuhi sepenuhnya piawaian minimum untuk penghapusan pemerdagangan dan tidak membuat usaha yang ketara untuk berbuat demikian,” kata laporan itu.
Lim berkata Ismail Sabri dan Jokowi boleh mengatasi pembekuan pekerja Indonesia dengan mudah.
Beliau menambah walaupun pegawai Malaysia memberi jaminan masalah buruh telah diselesaikan, tiada pengesahan daripada Kedutaan Indonesia mengenai bila kemasukan pekerja ke Malaysia boleh disambung semula.
“Ismail Sabri perlu meyakinkan Indonesia tentang langkah konkrit yang diambil untuk melindungi hak buruh migran di negara itu.” – 20 Julai, 2022.