Najib nafi Malaysia negara bankrap
Iklan
PERDANA Menteri Najib Razak hari ini menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Malaysia merupakan negara bankrap.
Beliau berkata di rantau Asia Tenggara, Malaysia dan Singapura dikategorikan dalam negara kategori A daripada segi ekonomi dan bukannya kategori B seperti negara Asean yang lain.
Najib yang juga menteri kewangan berkata, jika Eropah pula, negara dalam kategori B merupakan Itali, Sepanyol dan Rusia.
“Kalau nak kata kita ni negara bankrap tuan-tuan, secara logiknya, kalau ikut hukum akal, negara kategori B akan bankrap dulu. Bukan A! Tidak masuk akal langsung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab di program siaran langsung “Bajet 2018: Bersama rakyat, Kesejahteraan isi rumah” pagi ini.
Sehubungan itu, ia akan memberi cabaran besar buat kerajaan untuk mengurangkan faedah pinjaman hutangnya.
“Ekonomi Alhamdulillah. Ia dalam keadaan yang baik. Seperti mana yang anda semua tahu, kita dah umumkan pencapaian,” kata Najib.
Najib sebelum ini berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku keempat tahun lepas mencecah 5.9%, menjadikan kedudukan ekonomi negara antara yang tertinggi di dunia.
“Kalau 5.9% daripada segi pencapaiannya, Alhamdulillah antara yang tertinggi di dunia tuan-tuan. Kurang inflasi dan kurang pengangguran. Itu gambarannya,” katanya.
Najib berkata pencapaian itu turut dipuji ketika forum Organisasi Perdagangan Dunia (WTO) sehingga meletakkan Malaysia sebagai 23 negara yang mempunyai ekonomi berdaya saing di dunia.
Katanya, ranking itu meningkat dari 25 kepada 23.
“Baru-baru ini WTO puji Malaysia bahawa ekonomi kita bergerak di landasan yang betul dan polisi kita menunjukkan keputusan yang positif termasuk tindakan berani yang kita ambil,” katanya.
Najib berkata jika Malaysia bankrap, negara ini tidak akan mampu untuk melakukan pelbagai pembangunan dan tiada projek yang tergendala, serta dengan purata pendapatan meningkat 5% hingga 6% setahun.
“Jadi kita dalam keadaan yang baik. Sebab apa? Sebab kita lakukan keputusan yang berani, kita ada Pelan Transformasi Ekonomi (ETP). Bila saya jadi perdana menteri, ETP kita berjalan (dengan lancar).
“Kita mencapai apa yang kita ingin lakukan. Kita (lakukan sehingga) mencapai sekitar 2.26 juta (peluang) pekerjaan. Kita tingkatkan pendapatan antara 5%-6% setahun,” katanya. – 22 Februari, 2018.