Inflasi tinggi, siswazah baharu terpaksa cari kerja lebih
Iklan
SISWAZAH baharu terpaksa bekerja sambilan untuk berhadapan dengan peningkatan inflasi selepas sekatan pergerakan Covid-19.
Inflasi negara pada Mei 2022 meningkat 2.8 peratus kepada 126.6 berbanding 123.1 pada Mei 2021. Lonjakan ini melepasi purata inflasi Malaysia bagi tempoh 2011 hingga Mei 2022 (1.9%).
Statistik negara menunjukkan lulusan universiti memperoleh purata gaji RM2,412, atau RM900 melebihi gaji minimum namun ia juga bergantung kepada kelayakan, gred, kemahiran serta hasil temuduga.
Permulaan gaji yang rendah ini bermakna ramai siswazah baharu terpaksa membuat kerja lain bagi menambah pendapatan.
Leven Tang, 22, siswazah perniagaan dari Johor berkata gaji yang ditawarkan kepadanya selepas tamat pengajian jauh lebih rendah daripada yang dijangka.
“Saya ditawarkan antara RM1,500 dan RM2,000,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Jadi saya terpaksa mula berniaga dalam talian semasa di kolej. Jika tidak ekonomi saya akan jadi lebih teruk.
“Pada masa sama, saya juga mengajar tuisyen. Secara keseluruhannya, saya dapat RM3,000.”
Walaupun terpaksa menambah pendapatannya, Tan berkata masih sukar untuk membayar semua bilnya berikutan inflasi dan kenaikan kos makanan dan insurans.
Teoh Show Tze, dari Pulau Pinang bekerja dalam pemasaran digital dan memperoleh RM3,000 sebulan, namun masih tidak mencukupi.
“Saya dapat kerja dengan gaji permulaan yang baik tetapi ia masih tidak cukup sebab sewa rumah di Kuala Lumpur tinggi,” katanya.
“Apabila saya tidak cukup wang, saya mula cari kerja sambilan. Akhirnya saya dapat kerja penulisan iklan.
“Awa-awalnya susah, tetapi sekarang saya sudah terbiasa.”
Memandangkan syarikatnya mengamalkan cara kerja hibrid, jadi dia memasak di rumah untuk berjimat.
Sebagai seorang yang tidak pandai menyimpan wang, Teoh berkata dia memberikan sebahagian daripada gaji kepada ibunya untuk “memaksa” dirinya menyimpan.
Seorang lagi siswazah baharu, Liew Wei Yong, berkata dia memutuskan untuk memulakan perniagaannya sendiri untuk mendapatkan lebih banyak wang.
“Walaupun tidak mudah, ia cara yang lebih baik untuk hidup,” kata Liew.
“Apabila inflasi tinggi, perkara yang betul untuk dilakukan ialah mencari jalan untuk membuat lebih banyak wang bagi meningkatkan taraf hidup saya.”
Bulan lepas, Kabinet bersetuju membentuk Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata pasukan khas itu berperanan mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan.
Ismail Sabri berkata langkah itu diambil ekoran cabaran peningkatan kos sara hidup akibat perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik antara Russia-Ukraine yang dijangka berlarutan sehingga memberi kesan kepada pasaran komoditi makanan serta bahan api. – 21 Julai, 2022.