Tertekan kenaikan kos sara hidup, ramai dapatkan bantuan kaunselor
Iklan
TEKANAN mencari nafkah ketika kemerosotan kuasa beli dan peningkatan kos sara hidup menyebabkan ramai yang bertemu kaunselor bagi mendapatkan cara untuk menangani tekanan hidup baharu.
Hasil tinjauan The Malaysian Insight dalam kalangan kaunselor berdaftar, mendapati bilangan individu yang menghubungi talian kaunseling untuk mendapatkan bantuan meningkat sejak April, dan majoritinya adalah golongan yang bekerja berumur antara 25 hingga 50 tahun.
Ketika kemuncak pandemik Covid-19, panggilan yang diterima oleh Befrienders Johor Baru adalah daripada keluarga dan pelajar mengenai perkara berkaitan jangkitan virus tetapi presidennya Danny Loo memberitahu The Malaysian Insight panggilan yang diterima persatuan dari April dan seterusnya adalah berkaitan pengurusan kewangan peribadi.
“Selepas kebanyakan sekatan pandemik ditarik balik dan ekonomi dibuka semula pada April, orang ramai yang kembali bekerja mendapati harga barang mula melambung tinggi.
“Mereka yang bergaji juga mendapati tidak dapat menampung kenaikan harga. Gaji mereka tidak naik sama.
“Gaji dibawa pulang masih sama manakala harga makanan terus meningkat. Kehidupan tiba-tiba menjadi lebih sukar,” kata Loo.
Beliau berkata gaji pasangan suami isteri RM5,000 pun tidak cukup untuk menampung kehidupan mereka selama sebulan.
Loo berkata sebelum April, pasangan dengan gabungan gaji RM5,000 boleh mempunyai baki RM1,000 untuk simpanan selepas menyelesaikan semua bil, pinjaman dan perbelanjaan wajib.
“Sekarang selepas kenaikan kos sara hidup, tiada apa lagi yang tinggal.
“Jadi mereka menjadi sangat bimbang,” kata Loo bagi desakan untuk mendapatkan kaunseling.
Sebuah lagi pusat kaunseling, Pusat Perkembangan Psikologi D’Dawn berkata mereka menerima panggilan untuk mendapatkan bantuan bagi menangani tekanan hidup masa kini.
Pengasas dan kaunselor psikologinya Tan Chee Seng berkata kebanyakannya dalam lingkungan umur 30 hingga 40 tahun.
“Berita mengenai kenaikan harga sudah cukup untuk mewujudkan tekanan psikologi bagi ramai orang,” kata Tan.
“Berita sebegini memberi mereka gambaran mengenai kehidupan. Mereka dapat merasakan tekanan yang pendapatan tidak seiring perubahan keadaan ekonomi.
“Semasa pandemik, ramai bimbang mengenai pekerjaan dan tekanan yang dicetuskan oleh pendapatan tidak stabil. Mereka fikir tekanan akan berlalu apabila keadaan mula kembali kepada keadaan normal.
“Mereka sangat kecewa. Sebaliknya, tekanan lain menyusul.
“Untuk menangani beban kerja yang tertunggak akibat penutupan secara paksa tempat kerja, mereka bukan sahaja mempunyai timbunan kerja untuk ditangani, tetapi perlu berhadapan dengan bos yang sama tertekan.
“Kerja lebih sibuk dan menekan dan mereka yang mempunyai keluarga mendapati lebih banyak tekanan menunggu di rumah kerana perlu membantu anak-anak menyelesaikan kerja sekolah sebelum kelas fizikal disambung semula.”
Tan berkata kebanyakan yang mendapatkan kaunseling di D’ Dawn tidak mampu memahami isu yang menyebabkan harga makanan meningkat.
Beliau menjadikan inflasi sebagai contoh yang baik.
“Inflasi adalah sesuatu yang berada di luar kawalan kita. Ia fenomena global.
“Apa yang mereka boleh lakukan untuk menangani inflasi ialah mengurangkan perbelanjaan. Ia sesuatu yang mereka harus bersedia untuk menerima.”
Katanya, kegagalan memahami perkara itu menyebabkan mereka tertekan.
Gagal sesuaikan diri
Tan berkata satu perkara yang beliau dapati daripada mereka yang menelefon ramai tidak bersedia seperti mengikat perut dan menjalani gaya hidup sederhana pada masa yang sukar ini.
“Mereka tidak dapat mengawal perbelanjaan.”
Di Sarawak, kaunselor Pusat Kaunseling Kuching Bodhi Sim Chia Wei berkata golongan yang paling tertekan dengan keadaan itu ialah keluarga berpendapatan rendah yang sememangnya hidup dengan bajet sedikit.
Beliau berkata dengan harga yang semakin meningkat, mereka terpaksa membelanjakan lebih banyak daripada pendapatan mereka yang tidak seberapa untuk barangan keperluan.
Beliau berkata malah keluarga yang mampu menghadapi kenaikan kos sara hidup juga bimbang dengan masa depan.
“Mereka tidak tahu berapa lama keadaan inflasi ini akan bertahan dan berapa lama mereka boleh menghadapinya.”
Sim berkata kumpulan lain yang tertekan yang ditemuinya ialah golongan muda makan gaji yang terpaksa menyara keluarga, termasuk membayar balik pinjaman bulanan.
Beliau berkata kebimbangan utama mereka ialah kehilangan pekerjaan kerana ketidaktentuan ekonomi.
“Jika mereka tidak mempunyai kerja, siapa akan memenuhi keperluan kewangan?”
Sim berkata ketidakupayaan orang ramai dalam menyesuaikan kehidupan untuk menghadapi situasi ekonomi akan membawa kepada fenomena yang dikenali sebagai gangguan penyesuaian.
“Dalam erti kata lain, jika kita terus mengelak situasi itu untuk mengatasinya, ia akan menyebabkan lebih tekanan.” – 21 Julai, 2022.