Iklan

Kerajaan bentang semula lanjutan penahanan 28 hari Sosma minggu depan

Chan Kok Leong2 years ago20th Jul 2022Berita
Dewan rakyat afp 111120
Sebanyak 105 ahli Parlimen mengundi untuk membatalkan keputusan Dewan Rakyat pada 23 Mac lalu. – Gambar AFP, 20 Julai, 2022.
Iklan

KERAJAAN boleh membentangkan semula rang undang-undang (RUU) untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) selepas menang undian sebanyak 105 berbanding 83 di Dewan Rakyat hari ini.

Pada jam 7.40 malam, Speaker Azhar Azizan Harun mengumumkan terdapat 105 undi untuk membatalkan keputusan Dewan Rakyat pada 23 Mac 2022 berbanding 83 undi yang menentang.

“Semua yang hadir hari ini mengundi tanpa berkecuali,” kata Azhar.

Ini bermakna 32 ahli Parlimen tidak hadir semasa mengundi.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin membentangkan usul untuk membatalkan keputusan Dewan Rakyat pada 23 Mac untuk menolak RUU kerajaan bagi melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) selama lima tahun lagi.

Subseksyen 4(5) membenarkan polis menahan suspek sehingga 28 hari di bawah Sosma.

Sebelum pengundian, Hamzah berkata beliau tidak akan mempertikaikan merit lanjutan lima tahun itu kerana usul kerajaan adalah untuk membatalkan keputusan pada Mac.

“Kami akan membatalkan ia sekarang supaya saya boleh membentangkan RUU baharu minggu depan,” katanya kepada Dewan Rakyat.

Semasa persidangan Dewan Rakyat pada 23 Mac lalu, usul melanjutkan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Sosma yang membenarkan penahanan suspek sehingga 28 hari tanpa perbicaraan, gagal selepas 86 ahli Parlimen mengundi menentangnya manakala 85 menyokong, dengan 49 ahli Parlimen tidak hadir.

Had lima tahun untuk peruntukan itu berakhir pada 31 Julai.

Aktivis hak asasi manusia meminta ahli Parlimen menolak usul itu kerana ia membenarkan penahanan tanpa bicara dan harus dimansuhkan sepenuhnya kerana menjejaskan prinsip hak untuk perbicaraan yang adil seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun kerajaan berkata ia tidak akan digunakan terhadap pesaing politik, bekas pengerusi Bersih 2.0 dan kini Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah pernah ditahan di bawah Sosma selama 10 hari pada November 2016 kerana menganjurkan perhimpunan Bersih 5.

Pada 2019, kerajaan menyelesaikan kes mahkamah dengan Maria dan membayar ganti rugi RM25,000 dan kos RM5,000 pada 2019 tanpa sebarang pengakuan liabiliti. – 20 Julai, 2022.

Iklan
Iklan