Iklan

Najib jaga makan, ganti nasi dengan quinoa untuk kekal sihat

Yasmin Ramlan7 years ago22nd Feb 2018Berita
Najib razak chinese tmikamal 02
Perdana Menteri Najib Razak mengakui tiada masa untuk bersenam dengan kerap namun mengawal pemakanannya dengan ketat untuk memastikan kesihatanya terjaga.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2018. 
Iklan

PERDANA Menteri Najib Razak berkata beliau menjaga kesihatannya dengan bersenam dan menjaga makanan, termasuk menggantikan nasi dengan bijirin quinoa sebagai sumber protein.

Bagaimanapun, Najib mengaku kerana tidak cukup masa untuk bersenam dengan lebih kerap seperti yang diharapkan, beliau mengawal pemakanan dengan ketat.

“Masalahnya saya sukakan makanan, sama seperti kebanyakan rakyat Malaysia. Tapi saya perlu kawal (makan).

“Contohnya saya tidak makan nasi tapi makan quinoa. Anak saya perkenalkan saya kepada quinoa. Quinoa ini berasal dari Peru. Orang Inca hidup dengan quinoa sejak tiga ribu tahun dulu.

“Ia makanan berasaskan protein. Jadi kurang karbohidrat, kurang kandungan gula, lebih bagus dari nasi,” katanya pada program dialog Bajet 2018 Bersama Rakyat di Pusat Perubatan  Universiti Kebangsaan Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Quinoa adalah sejenis bijirin yang jadi makanan utama penduduk di Banjaran Andes di Amerika Selatan, meliputi antaranya Peru dan Bolivia.

Pertubuhan Bangsa Bersatu mengisytiharkan tahun 2013 sebagai Tahun Quinoa Sedunia bagi menarik perhatian dunia kepada potensi bijirin itu bagi menjamin keselamatan makanan dan membasmi kemiskinan, selaras dengan sasaran pembangunan milenium.

“Saya cuba fikir apakah kuinoa atau yang seumpama dengannya boleh ditanam di Malaysia. Ia lebih sihat daripada nasi,” katanya.

Najib juga memberitahu beliau mengurangkan makanan yang berminyak dan bergoreng.

Pada majlis dialog yang dikendalikan oleh pelakon dan usahawan Fizo Omar itu, Najib menjawab soalan beliau selalu nampak cergas dan sihat walaupun menjalani jadual yang ketat.

Menurut Najib, satu perkara yang orang perlu ingat ialah seorang perdana menteri pun adalah manusia biasa yang perlukan hidup yang seimbang, dan katanya bersenam adalah antara cara mendapatkan keseimbangan hidup.

Pada program dialog yang sama, Najib menggesa anak muda supaya berbelanja mengikut kemampuan diri dan tahu membezakan antara kos sara hidup dengan kos gaya hidup. Beliau memberikan contoh antara makan di kedai mamak dengan makan di restoran Jepun.– 22 Februari, 2018. 

Iklan
Iklan