Pengusaha katering terkesan dengan kenaikan kos
Iklan
KETIKA orang ramai mula mengadakan majlis dan perayaan yang besar, perniagaan katering bufet kembali rancak selepas dua tahun penutupan Covid-19 namun peningkatan kos membuatkan pengusaha sukar untuk mengimbangi kos dan memenuhi jangkaan pelanggan.
Terdapat permintaan yang baik untuk hidangan bufet bagi majlis perkahwinan, hari jadi, pembukaan perniagaan dan acara lain tetapi pengusaha katering memberitahu The Malaysian Insight bahawa harga pelbagai bahan mentah yang kian meningkat serta kekurangan bekalan menyebabkan mereka terkesan.
Ada yang berkata mereka berdepan peningkatan kos purata 20% hingga 60%, tetapi memilih untuk tidak meletakkan kos kepada pengguna kerana bimbang perniagaan akan rugi.
Pengusaha Perkhidmatan Katering Helimen, Ng Sheau Kang berkata kos meningkat sebanyak 30% hingga 40%. Bagaimanapun, beliau hanya melaraskan harga sebanyak 10% hingga 15%.
“Persaingan dalam sektor katering makanan adalah sengit kerana ekonomi telah dibuka semula dan permintaan tinggi.
“Saya beroperasi pada model perniagaan sekarang yang mana saya tidak dapat mengetahui lebih awal jika kos saya untuk sesuatu acara mampu ditanggung (kerana harga terus meningkat), namun strateginya hanyalah untuk memastikan saya mengekalkan pelanggan dan mempunyai perolehan yang lebih cepat walaupun keuntungan lebih kecil,” kata Ng.
Seperti kebanyakan sektor lain, perniagaan katering juga berdepan masalah kekurangan pekerja. Ng memilih untuk menaikkan gaji pekerjanya bagi mengekalkan mereka dan meneruskan perniagaannya
“Namun masalah saya yang paling besar ialah kekurangan bahan. Kami perlu mendapatkan sumber secara lebih meluas dari negeri yang berbeza. Kami tidak boleh memberitahu pelanggan, maaf, kami kehabisan stok. Apabila beberapa bahan habis, kami perlu menggantikannya dengan barangan lain.
“Hanya jika benar-benar tiada alternatif dan langsung tiada bekalan, maka kami memberitahu pelanggan masalahnya dan kemudian memberikan diskaun pada bil mereka,” tambah Ng.
Perniagaan katering Helimen di Tangkak, Johor, telah menetapkan harga bufetnya antara RM23 hingga RM35 seorang. Harga minimum RM23 bermula pada bulan Jun, sebelum ini adalah RM20.
Ng berkata bufetnya biasanya terdiri daripada 18 hidangan, dan rancangannya, jika bahan mentah naik semula kos, adalah untuk mengurangkan jumlah hidangan, bukannya melaraskan harga pakej bufetnya.
“Jika terus menaikkan harga, pelanggan pasti akan merungut, jadi kita perlu mencari cara lain untuk menanganinya.”
James Teo, yang mengusahakan Rabbit Home Catering & Pack Food yang berpangkalan di Johor, berkata kosnya meningkat 40% hingga 60%, termasuk dari segi bahan-bahan dan gaji kakitangan.
Beliau menerima banyak tempahan untuk majlis perkahwinan, pembukaan kedai dan hari lahir selepas ekonomi dibuka semula sepenuhnya pada April.
“Kami mengambil secara purata dan melaraskan harga untuk pelanggan sebanyak 20 hingga 30%. Orang ramai memilih bufet kerana mereka mahu berjimat, jadi kita tidak boleh menaikkan harga terlalu tinggi.
“Jamuan di restoran berharga sekurang-kurangnya RM1,000 setiap meja, tetapi pilihan bufet kami adalah dari serendah RM20 seorang hingga lebih RM100.
“Kebanyakan orang memilih pakej dengan RM40 hingga RM50 sekepala. Oleh itu, kami melihat lebih banyak tempahan bufet untuk majlis perkahwinan, kerana orang ramai ingin menjimatkan kos.”
Sementara itu ketua Katering Seastar Buffet Koh Chun Xin berkata bahan-bahan seperti ayam, udang dan itik semakin sukar diperoleh.
Secara keseluruhan, perniagaannya menghadapi peningkatan kos sebanyak 20% hingga 30% dan telah menaikkan sedikit harganya, katanya.
Beliau telah memberi jaminan kepada pelanggan, sekiranya mereka telah membayar deposit untuk tempahan pada akhir tahun ini, caj yang dipersetujui tidak akan dinaikkan dan perkhidmatan katering akan menyerap kos tersebut.
Pengerusi Persatuan Restoran dan Kedai Teh Koo Soo Kwong Choon Tong Pulau Pinang, Vinah Yee Yook Chee berkata cef untuk perkhidmatan katering perlu menggunakan kreativiti mereka untuk mengurangkan bahan-bahan mahal dalam hidangan.
“Mereka perlu memerah otak untuk menjadikan hidangan lebih menarik walaupun bahan-bahan tertentu dikurangkan.
“Jadi, gamat yang mahal itu mungkin dihiris nipis sedikit, dan disertakan dengan bahan lain yang menyempurnakan rasanya. Saiz dan isipadu hidangan adalah sama, tetapi kosnya boleh dikurangkan sedikit.”
Yee berkata katering bufet tidak boleh menaikkan harga terlalu tinggi tetapi perlu mencari cara lain untuk menangani kenaikan kos bahan mentah dan buruh. – 23 Julai, 2022.