Iklan

Polis sekat kumpulan pelajar berarak ke Dataran Merdeka

Noel Achariam2 years ago23rd Jul 2022Berita
Turun protest tmikamal 06
Kumpulan pelajar tersebut berkumpul di pintu masuk pusat beli-belah Sogo pada 2 petang untuk membantah ketidakupayaan kerajaan menangani krisis itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 23 Julai, 2022.
Iklan

POLIS menyekat kira-kira 80 pelajar universiti di depan pusat beli-belah Sogo di Kuala Lumpur daripada berarak menuju ke Dataran Merdeka bagi membantah kenaikan kos sara hidup.

Kumpulan pelajar tersebut berkumpul di pintu masuk pusat beli-belah itu pada 2 petang untuk membantah ketidakupayaan kerajaan menangani krisis itu.

Ketika mereka hendak berarak dari pusat membeli-belah itu, polis membentuk beberapa sekatan manusia di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Selepas rundingan ringkas polis membenarkan pelajar membuat protes di hadapan pusat beli-belah berkenaan.

Lima tuntutan mereka kepada kerajaan ialah: gaji menteri dipotong, subsidi kerajaan diteruskan, menyampaikan bantuan yang baik kepada rakyat, mengawal harga barangan, dan menangani isu keselamatan makanan.

Ketika mereka hendak berarak dari pusat membeli-belah Sogo, polis membentuk beberapa sekatan manusia di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 23 Julai, 2022.

Pemimpin pelajar, Amir Abd Hadi dalam ucapannya menggesa kerajaan memotong gaji semua menteri dalam Kabinet.

“Kita juga mahu harga barang turun. Rakyat menderita dengan kos sara hidup yang tinggi,” kata Amir.

Presiden persatuan pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Aliff Naif berkata tuntutan mereka bukan untuk pelajar sahaja tetapi melibatkan semua rakyat Malaysia.

“Kami tidak akan berhenti membantah sehingga semua lima tuntutan kami dipenuhi, terutama untuk menurunkan harga barang dan memotong gaji menteri.

“Kami kecewa dan rakyat menderita. Pelajar dari kampus saya terpaksa mengurangkan makanan mereka kerana tidak mempunyai makanan yang mencukupi.

“Mana lagi menteri berseronok dengan gaji tinggi. Gaji rakyat juga 12 kali lebih rendah daripada gaji mereka.”

Pelajar juga berkata mereka akan meneruskan bantahan sehingga tuntutan dipenuhi.

Pada 21 Julai, kumpulan itu berkata Perdana Menteri Ismail Sabri mengumumkan Pasukan Petugas Khas Jihad Menentang Inflasi tetapi mereka gagal menangani masalah itu.

“Selain mengunjungi pasar pagi dan kedai runcit, semua anggota pasukan ini yang juga anggota Kabinet tidak mempunyai idea baharu yang berkesan untuk mengawal kenaikan harga barang serta menyalurkan bantuan kepada rakyat.

“Pengumuman perdana menteri untuk meningkatkan bantuan kepada rakyat Malaysia antara RM50 dan RM100 tidak mengangkat maruah rakyat Malaysia yang terpaksa berpuasa bagi memastikan anak di rumah tidak kelaparan,” kata mereka.

Tambah kenyataan itu, di saat rakyat tertekan dengan gaji rendah dan kenaikan harga barang, seorang menteri masih menerima gaji antara RM64,000 dan RM90,000 sebulan.

“Ini menunjukkan kebanyakan ahli politik tidak menyentuh realiti. Kami tiada pilihan selain membantah sekali lagi,” kata kumpulan itu. – 23 Julai, 2022.

Iklan
Iklan