Iklan

Majikan alih tumpuan terhadap pembantu rumah Filipina, kata agensi

Angie Tan2 years ago25th Jul 2022Berita
49974676961 c76f8017dd b
Agensi pengambilan pekerja asing keliru dengan status pembantu rumah Indonesia dan terpaksa bergantung terhadap pembantu rumah Filipina. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2022.
Iklan

RAKYAT Malaysia beralih ke Filipina ketika permintaan terhadap pembantu rumah mencecah 50,000 berikutan pertikaian Putrajaya dengan Indonesia mengenai pekerja asing, kata agensi pengambilan.

“Difahamkan beberapa majikan yang sebelum ini mengambil pembantu rumah Indonesia mengalihkan tumpuan kepada pembantu rumah Filipina,” kata presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Kebangsaan Malaysia (Pikap), Fiona Low.

Sekalipun Malaysia membuka semula sempadan antarabangsa sejak 1 April, proses permohonan pekerja asing masih dalam peringkat awal, kata Low.

“Pada April, selepas kerajaan dan Indonesia menandatangani memorandum persefahaman (MoU), kami membuat tempahan kerja pada Mei, tetapi prosedurnya lembab.”

Low berkata, pertikaian pekerja asing dengan Indonesia baru-baru ini berhubung sistem pembantu rumah dalam talian Malaysia tidak membantu walaupun Menteri Sumber Manusia M Saravanan berharap ia akan diselesaikan segera.

Jumlah isi rumah yang ingin mengambil pembantu rumah asing dianggarkan antara 40,000 dan 50,000.

“Daripada maklumat yang diberikan oleh setiap ahli (agensi), dianggarkan terdapat 40,000 hingga 50,000 keluarga di Malaysia yang masih menunggu pembantu rumah mereka sejak penularan wabak. Tetapi berikutan kelewatan itu, beberapa keluarga sudah beralih kepada pembantu rumah Filipina.”

Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (PAPA) Foo Yong Hooi berkata pada masa ini agensi yang memohon melalui saluran rasmi hanya boleh bergantung kepada Filipina.

“Disebabkan masalah Indonesia, kami keliru mengenai keseluruhan proses dan masalah dengan sistem dalam talian pembantu rumah.”

Beliau turut menganggarkan terdapat 50,000 isi rumah di negara ini memerlukan pembantu rumah.

Malaysia dan Indonesia secara rasmi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai penggajian dan perlindungan pembantu rumah tangga Indonesia di Malaysia pada 1 April lalu. Majlis perjanjian itu disaksikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Indonesia Joko Widodo di Istana Merdeka, Jakarta.

Menurut MoU itu, unit berkaitan akan melaksanakan pelbagai langkah untuk menjaga kebajikan pembantu rumah termasuk membayar insurans sosial dan memastikan gaji dibayar melalui e-Wages iaitu selewat-lewatnya pada hari ketujuh setiap bulan. Pembantu rumah juga berhak mendapat cuti sehari seminggu dan boleh membuat aduan secara dalam talian melalui e-aduan.

MoU antara kerajaan Malaysia dengan Indonesia mengenai pengambilan pembantu rumah di Jakarta pada 1 April lalu disaksikan Ismail Sabri Yaakob dan Jokowi. – Gambar Facebook, 25 Julai, 2022.

Bagaimanapun pada 13 Julai, Indonesia mendakwa Malaysia melanggar MoU itu, menyebabkan negara republik itu membekukan pelepasan pekerja ke Malaysia.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono juga berkata, jika Malaysia mahu membatalkan MoU itu, Indonesia tidak bimbang.

Beliau berkata, Indonesia mempunyai bukti konklusif Putrajaya melanggar MoU dengan menggunakan sistem dalam talian pembantu rumah (SMO) apabila mengambil pembantu rumah Indonesia.

Pada 19 Julai, Saravanan berkata, Malaysia pada dasarnya bersetuju untuk mengintegrasikan sistem pembantu rumah yang diupah. Justeru, isu pembekuan sementara eksport buruh dijangka dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Selain itu, Low juga berkata, pekerja Indonesia popular dalam kalangan majikan kerana mereka boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu sekalipun sesetengah majikan masih menggaji pembantu rumah yang berlainan bangsa mengikut keperluan mereka.

Beliau berkata, walaupun kerajaan membenarkan pekerja asing dari 15 negara, tidak semua negara boleh mengeksport pembantu rumah.

“Antaranya hanya Filipina, Indonesia, Kemboja, Vietnam dan Sri Lanka mengeksport pembantu rumah ke Malaysia.

“Sri Lanka tidak mempunyai ramai pembantu rumah dan mustahil Kemboja menghantar ramai pekerja mencari rezeki di Malaysia.

“Selepas Kemboja dibuka, pelabur berpusu-pusu ke negara itu untuk memulakan industri pembuatan dan oleh itu mereka tidak perlu datang ke sini untuk bekerja.

“Begitu juga Vietnam. Sepuluh tahun lalu, ramai orang datang ke Malaysia untuk bekerja, tetapi kini pembangunan tempatan sangat baik, peluang pekerjaan mencukupi dan gaji lebih tinggi daripada kita,” kata Low.

Foo bersetuju dan menegaskan kerajaan harus mengambil inisiatif untuk menyelesaikan isu itu dengan segera.

“Malah, kami menekankan keperluan untuk menambah lebih banyak negara sumber, tetapi kami tidak lihat sebarang perkembangan positif dari kerajaan.” – 25 Julai, 2022.

Iklan
Iklan