Penduduk bawa isu PJD Link ke Parlimen
Iklan
PENDUDUK Petaling Jaya akan membawa isu pembinaan Lebuhraya Bertingkat Penyuraian Trafik Petaling Jaya (PJD Link) ke Parlimen bagi menuntut projek tersebut dibatalkan.
Jurucakap Residents Against PJD Link (Scrap Highway) David Yoong berkata satu memorandum akan diserahkan kepada Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof.
“Kami merancang untuk menyerahkan memorandum kepada Fadillah sebelum sidang Parlimen berakhir minggu depan.
“Memorandum tersebut mengandungi alasan-alasan mengapa penduduk membantah projek PJD Link,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut Yoong penyerahan memorandum akan diaturkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah dengan melibatkan tujuh wakil pelbagai persatuan penduduk.
“Kami berharap menteri dapat memberi sedikit masa dan peluang untuk kami bentangkan mengapa projek PJD Link perlu dibatalkan.
“Inti pati memorandum ini ialah kesan (projek) kepada penduduk; warga emas; alam sekitar; pencemaran bunyi dan habuk; masalah lalu lintas serta faktor lain,” ujarnya.
Sabtu lalu, kira-kira 80 orang penduduk mengadakan bantahan secara aman di Lebuh Bandar Utama, Petaling Jaya bagi mendesak projek PJD Link dibatalkan.
Ia protes kedua melibatkan penduduk dari Bandar Utama, SS20 Damansara Kim, Seksyen 4, Damansara Utama, Damansara Jaya, SS2 dan kawasan lain di Petaling Jaya.
Scrap Highway mengadakan bantahan kali pertama pada 2 Julai membabitkan kira-kira 100 penduduk, berhampiran masjid Seksyen 14.
Yoong seterusnya berkata Scrap juga sedang merangka satu memorandum sedang dirangka untuk dikemukakan kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Izham Hashim.
Memorandum akan diserah kepada Amirudin hujung minggu ini, tambahnya.
Ahad lalu, Amiruddin memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan menolak sebarang projek pembangunan lebuh raya akan datang sekiranya didapati tidak mendatangkan faedah kepada rakyat Selangor.
Beliau yang ditemui pada majlis Pakatan Harapan di Kota Damansara juga menafikan Selangor telah bersetuju dengan pemaju untuk meneruskan cadangan projek PJD Link.
“Apa yang dipersetujui antara kami dan syarikat (pemaju) ialah mereka akan datang semula kepada kami dengan membawa kajian kes tentang reaksi penduduk di kawasan itu terhadap projek berkenaan. Sebaik sahaja kajian selesai mereka perlu beri taklimat kepada kam.
“Itu adalah perjanjian kami, kami tidak bersetuju untuk membenarkan mereka meneruskan projek itu dan sehingga kini mereka tidak datang kepada kami untuk membentangkan apa yang mereka dapat daripada kajian tersebut.
“Justeru, bukan kita yang beri lampu hijau kepada mereka, tetapi kerajaan persekutuan. Saya boleh jamin kita akan membantah mana-mana rancangan atau projek pembangunan yang tidak mendatangkan faedah atau penambahbaikan kepada kehidupan rakyat Selangor,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan projek PJD Link, Lebuhraya Putrajaya-Bangi (PBE) dan Lebuhraya Penyuraian Utara Kuala Lumpur (KL-Node) telah mendapat kelulusan prinsip daripada Jemaah Menteri.
Penduduk Petaling Jaya menentang projek mega itu sejak 2016 lagi atas alasan lebuh raya bertingkat itu akan merentasi kawasan kejiranan mereka dan menjejaskan sehingga 1,000 rumah.
Penduduk berkata lebuh raya yang dicadangkan itu akan membawa aliran trafik yang besar, pelepasan karbon, pencemaran udara, serta gangguan bunyi dan penglihatan, yang akan menjejaskan penduduk.
Dilaporkan bahawa lebuh raya yang dicadangkan adalah di sepanjang Jalan Penchala dan Jalan Sultan (PJ Sentral), melintasi lebuh raya persekutuan ke arah Jalan Profesor Khoo Kay Khim (sebelum ini Jalan Semangat) dan Jalan Harapan, dan kemudian membelok ke barat di sepanjang Lebuhraya SPRINT ke arah Lebuhraya Baru Lembah Klang Plaza tol Damansara. – 27 Julai, 2022.