Iklan

Kenapa setakat indeks rasuah sahaja?

The Malaysian Insight7 years ago23rd Feb 2018Editorial
Iklan

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bercadang mahu mewujudkan satu indeks rasuah khas yang lebih berkesan untuk menganalisa dan mengukur tahap rasuah di negara ini.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad berkata cadangan mengenainya akan dibentangkan pada mesyuarat Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah yang akan datang sebelum ia dimajukan kepada kabinet.

“Sudah sampai masanya kita adakan indeks sendiri yang lebih berkesan. Kita tidak mahu melihat dari sudut persepsi semata-mata tetapi juga dari sudut realiti.

“Beri SPRM sedikit masa, mungkin dalam tempoh 2 hingga 3 bulan sebelum dibawa kepada pihak atasan,” katanya selepas mesyuarat lembaga itu semalam.

Kenapa hendak buat indeks rasuah sahaja?

Buatlah yang lain juga.

Cuba renungkan senarai berikut:

  1. Oleh sebab piawai dunia terlalu tinggi untuk kita, eloklah kita ada Piala Dunia sendiri untuk bola sepak. Kita jemput negara-negara yang rankingnya sama dengan Malaysia dan kita boleh adakan pertandingan empat tahun sekali.
  2. Oleh sebab kita tidak boleh mengatasi Universiti Nasional Singapura (NUS) dan universiti lain di Asia, eloklah kita buat sistem ranking sendiri yang memberikan pertimbangan paling rendah kepada pencapaian akademik.
  3. Kita buat tafsiran sendiri tentang maksud curi dan padamkan daripada kanun keseksaan penyelewengan dana awam sebagai satu kesalahan.
  4. Berhenti mengukur tahap literasi pelajar Malaysia dengan negara dunia pertama. Cukup kalau dibandingkan dengan Korea Utara sahaja.
  5. Adakan pertandingan menteri terbaik dalam apa juga kategori dan hadkan kepada hanya jemaah menteri Malaysia. Kita tentu akan menang.

Kalau ikut apa yang kita cuba buat sekarang, kita boleh kalahkan Korea Utara dalam pertandingan menipu diri sendiri. Kita malah mungkin akan percaya bahawa dunia ini berpusat di Kuala Lumpur.

Ayuhlah, Malaysia Boleh! – 23 Februari, 2018.

Iklan
Iklan