Iklan

Kerajaan rujuk RUU kawalan tembakau, rokok kepada PSC

Chan Kok Leong2 years ago2nd Aug 2022Berita
Moh smoking ban 030119 tmiseth 02
Iklan

KERAJAAN telah memutuskan untuk merujuk Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi membetulkan beberapa fasal yang telah menimbulkan kebimbangan kepada kedua belah pihak.

“Lebih baik kita rujuk RUU ini kepada PSC sebab ada bantahan. Lebih baik kita kaji lebih lanjut perkara ini sebelum kita undi lagi,” kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin di Dewan Rakyat selepas 12 ahli Parlimen membahaskan RUU itu di peringkat dasar sejak dua hari lepas.

Semua bantahan itu dibalas Khairy dengan menggunakan hujah “hak asasi manusia”.

“Orang ramai tidak ada hak asas untuk merosakkan diri mereka sendiri dan tiada siapa boleh kata tidak ada bukti konklusif yang merokok tidak bahaya,” kata ahli Parlimen Rembau itu.

Dalam pada itu Khairy turut mencabar sesiapa sahaja membuktikan yang rokok dan kanser tidak ada kaitan.

Beliau berkata walaupun orang ramai mempunyai hak, mereka juga tidak ada hak untuk membahayakan orang lain atau kepentingan awam.

Tidak seperti ketagihan lain, Khairy berkata tiada ambang minimum untuk merokok.

“Terdapat tahap selamat untuk minum alkohol tetapi rokok tidak ada,” kata menteri itu.

Mengenai PSC, Khairy berkata pihaknya mempunyai masa sebulan untuk memuktamadkan penemuannya sebelum membentangkan laporan kepada Parlimen.

“Paling lambat, ia mesti dibentang menjelang mesyuarat ketiga Parlimen tahun ini,” kata Khairy.

Jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh menteri kesihatan dan dianggotai 12 ahli Parlimen lain iaitu Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling), Mohd Nizam Zakaria (Parit), Azalina Othman Said (Pengerang), Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Fadhil Shaari (Pasir Mas), Lukanisman Awang Sauni (Sibuti), Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching), R Sivarasa (Sg Buloh), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Madius Tangau (Tuaran), Darell Leiking (Penampang) dan Mukhriz Mahathir (Jerlun).

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh mencadangkan supaya ialah ahli PSC perlu isytihar kepentingan mereka kepada jawatankuasa itu.

“Ahli PSC perlu tunjuk minat mereka sebelum mereka mula bekerja kerana ini adalah industri berbilion-bilion. Atau mungkin keterlibatan mereka,” katanya.

Sebelum pengumuman menteri itu, 10 ahli Parlimen membahaskan RUU itu dengan kebanyakan mereka meminta ianya diperhalusi walaupun bersetuju dengan niat terkandung dalam RUU tersebut.

“Melarang tabiat yang sudah dilakukan oleh berjuta-juta orang adalah sukar tetapi saya bersetuju untuk hentikan generasi muda daripada merokok,” kata Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi).

“Walaupun saya bersetuju ia perlu dilakukan langkah demi langkah, tetapi kuasa yang diberikan di bawah RUU ini terlalu luas dan akan menimbulkan ketakutan dalam kalangan mereka yang tidak merokok kerana penguatkuasa boleh menggeledah mereka sesuka hati,” kata bekas perdana menteri.

Wakil rakyat luar bandar seperti Ahli Parlimen Bintulu Tiong King Sing menggesa Kementerian Kesihatan kemuka lebih banyak data.

Seperti Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas), Tiong berkata RUU itu bukan sekadar menghalang mereka yang berumur bawah 18 tahun daripada merokok.

“Ini bagi menghalang mereka yang lahir selepas 2007 daripada merokok. Adakah kerajaan cuba menipu orang ramai?”

Tiong berkata maklum balas daripada pengundi luar bandarnya adalah negatif kerana mereka bertanya bagaimana mereka boleh bayar denda RM500 jika anak mereka ditangkap merokok.

“Tetapi yang paling penting, apakah penyelidikan dan data di sebalik RUU ini. Dan mengapa kita tergesa-gesa untuk meluluskannya? Saya akan nyatakan yang saya tolak RUU ini,” kata Tiong.

Presiden Muda Syed Saddiq Abdul Rahman (Muar) berkata kerajaan perlu memberi tumpuan kepada sumber berbanding menjenayahkan tabiat merokok.

“Kita juga perlu beri tumpuan kepada pengurangan bahaya dan menghapuskan kuasa melampau yang diberikan seperti kuasa ketua pengarah untuk membatalkan pendaftaran syarikat berdasarkan syak wasangka atau menggeledah dan merampas kuasa tanpa waran.

“Menteri boleh berjanji tidak akan ada salah guna agensi penguatkuasaan, tetapi bolehkah kementerian kawal agensi yang berbeza di luar sana?” kata Syed Saddiq.

Semalam, kerajaan telah membentangkan RUU tersebut untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.

Rang undang-undang itu, yang pertama seumpamanya, memperuntukkan larangan ke atas individu yang lahir pada 2007 dan selepas itu daripada merokok, membeli atau memiliki produk tembakau atau alat merokok, untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Mengikut Seksyen 17 Akta yang dicadangkan, tiada sesiapa yang dilahirkan pada 1 Januari 2007 dan selepas itu boleh menghisap apa-apa produk tembakau atau produk gantian tembakau, menggunakan apa-apa peranti merokok, atau memiliki apa-apa produk tembakau, bahan penghisap, produk pengganti tembakau atau peranti merokok.

Mana-mana individu yang melanggar Subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, jika sabit kesalahan, didenda tidak melebihi RM5,000.

Selain itu, individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan selepas itu, yang membeli produk tembakau, bahan penghisap rokok dan produk pengganti tembakau atau alat merokok, boleh didenda tidak melebihi RM5,000, jika sabit kesalahan. – 2 Ogos, 2022.

Iklan
Iklan