Iklan

Warga emas di rumah jagaan meningkat 50% selepas Covid-19, kata penjaga 

Angie Tan2 years ago4th Aug 2022Berita
Warga emas
Rumah jagaan warga emas tidak dapat memenuhi permintaan untuk menempatkan orang tua yang diabaikan berikutan masalah tempat yang terhad.– Gambar EPA, 4 Ogos, 2022.
Iklan

TERDAPAT peningkatan 50% dalam jumlah kes pengabaian melibatkan warga emas pasca Covid-19, kata rumah jagaan.

Menurut mereka, banyak pangggilan diterima daripada hospital yang bertanya sama ada mereka mempunyai tempat untuk warga emas yang telah ditinggalkan keluarga.

Ketua Persatuan Kebajikan Kasha OKU Jacky Bah, berkata jumlah warga tua yang ditinggalkan semakin meningkat sejak tiga tahun lalu.

“Dalam tempoh tiga tahun lalu, terdapat peningkatan 50% berbanding tempoh sebelum Covid-19,” kata Bah kepada The Malaysian Insight.

“Pihak hospital sering menghubungi kami untuk mendapatkan bantuan melibatkan warga emas yang tidak diambil yang dimasukkan ke hospital untuk amputasi atau mereka yang mengalami strok.”

Rumah Bah kini menempatkan 15 orang manakala terdapat 20 dalam senarai menunggu.

“Disebabkan inflasi, kapasiti kami juga terhad, tetapi kami cuba sedaya upaya untuk membantu. Jika tidak, warga emas ini akan berakhir di jalanan.”

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun memberitahu Parlimen 2,144 warga emas terlantar di hospital seluruh negara dari 2018 hingga 2022. Daripada jumlah ini, 914, terdiri daripada 656 lelaki dan 258 wanita, berjaya dikembalikan kepada keluarga masing-masing.

Rina berkata pada 2021 sahaja, 752 warga emas ditinggalkan di hospital oleh ahli keluarga mereka.

Mereka terdiri daripada 231 lelaki dan 109 wanita dan telah ditempatkan di institusi kebajikan, tambahnya.

“Selalunya, apabila keluarga mereka dihubungi, mereka enggan membawa orang tua mereka pulang, memberi alasan seperti masalah keluarga dan kadang-kadang mendakwa tidak mengenali mereka.”

Walaupun pengabaian warga emas bukan perkara baru, Bah berkata keadaan kini kritikal.

“Ia mungkin disebabkan masalah kewangan, dan seterusnya kita melihat lebih ramai warga emas diabaikan.”

Pengarah Pertubuhan Kebajikan Amal Warga Emas Sejati Kuala Lumpur dan Selangor, yang terletak di Kepong, Tan Joo Sen berkata beliau juga menerima panggilan daripada hospital setiap bulan.

Masalah kewangan bukan alasan yang cukup baik untuk anak mengabaikan ibu bapa mereka, kata pengarah pusat jagaan warga emas di Pulau Pinang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2022.

“Kami mengambil 30 orang, dan bilangannya semakin meningkat.”

Rumah jagaan ini menyediakan penjagaan percuma untuk warga emas yang lumpuh, menghidap kanser dan mereka yang tidak lagi mampu menjaga diri.

“Mereka dirujuk di sini oleh hospital, atau keluarga boleh memohon untuk menghantar mereka ke sini.”

Pengarah P. Syukur Pulau Pinang, yang merupakan rumah jagaan warga emas bukan berasaskan keuntungan, Tan Hiang Hock berkata, kekurangan wang bukanlah alasan yang cukup baik untuk mengabaikan warga emas.

“Jika keluarga miskin, mereka boleh mendapatkan rawatan kesihatan percuma daripada hospital kerajaan. Mereka juga boleh memohon bantuan tunai daripada jabatan kebajikan.”

Tan berkata rumah jagaan itu telah beroperasi selama 17 tahun dan terdapat tanda-tanda bahawa bilangan warga emas yang diabaikan akan meningkat berdasarkan jumlah kemasukan ke hospital semasa wabak itu.

Selain miskin, Tan yang berpengalaman selama 20 tahun berkata keluarga juga enggan menjaga saudara mereka yang menghidap penyakit seperti Alzheimer.

“Jika mereka tidak mempunyai kesabaran, mereka akan sangat tertekan menguruskannya. Namun begitu, terdapat juga ramai orang yang berbakti kepada golongan ini,” kata Tan.

Bagaimanapun, melihatkan kepada situasi semasa, Tan berkata ramai anak yang mungkin merasakan ibu bapa mereka yang sudah lanjut usia hanyalah satu bebanan.

Tan berkata adalah penting untuk mendidik orang ramai.

“Kita mesti bermula dengan pendidikan dan mengajar nilai yang betul.

“Ini mesti ditambah dengan dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan,” tambah Tan. – 4 Ogos, 2022.

Iklan
Iklan