Iklan

Makin dekat PRU14, makin kuat Umno mengarut, kata Mukhriz

Melati A. Jalil7 years ago23rd Feb 2018Berita
Bersatu agm 301217 tmiseth 19
Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir berkata kenyataan palsu terbaru pemimpin Umno ialah apabila Najib Razak mendakwa Dr Mahathir Mohamad tidak akan serah jawatan kepada Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2018.
Iklan

TIMBALAN Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir berkata jangkakan semakin banyak kenyataan palsu dan mengarut bakal dilemparkan oleh pemimpin Umno terhadap pembangkang menjelang pilihan raya umum (PRU).

Katanya, yang terbaru ialah kenyataan Perdana Menteri Najib Razak hari ini yang mengatakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad tidak akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar Ibrahim jika pakatan itu menang PRU14.

Sejak akhir-akhir ini, saya sudah nampak beberapa kenyataan pemimpin Umno yang tidak benar, betul-betul mengarut.

“Contohnya, kenyataan perdana menteri yang kredibilitinya kosong sekarang ini, jadi tidak ada sesiapa pun anggap serius apa yang dikatakannya,” kata Mukhriz pada sidang media di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, hari ini.

Najib terdahulu berkata Dr Mahathir, yang dinamakan sebagai calon perdana menteri PH, tidak akan menyerahkan jawatan kerana beliau menganggap pemimpin lain tidak layak.

Dr Mahathir sebelum ini berkata beliau akan menjadi perdana menteri untuk dua tahun saja paling lama, jika PH menang PRU14.

Ketika ditanya sama ada bapanya akan mengotakan janji, Mukhriz berkata: “Sudah tentu, terbukti yang beliau tidak pernah ambil ringan semua kenyataannya.

“Beliau maksudkan apa yang beliau cakap,” katanya yang juga bekas menteri besar Kedah itu.

Mukhriz berkata kenyataan palsu lain yang dibuat pemimpin Umno setakat ini ialah mendakwa pemimpin pembangkang akan bertanding di bawah lambang DAP, atau beliau (Mukhriz) bakal bertanding di Selangor.

Pada 4 Februari, Dr Mahathir diminta oleh wartawan untuk mengesahkan khabar angin bahawa anaknya Mukhriz akan bertanding di kerusi DUN di Selangor.

“Saya tidak tahun itu. Dia akan bertanding tetapi saya tidak tahu di mana,” katanya dipetik daripada Bernama. – 23 Februari, 2018.

MENYUSUL

Iklan
Iklan