Anwar paling layak jadi PM, kata Rafizi
Iklan
TIDAK dinafikan Anwar Ibrahim masih menjadi pilihan calon perdana menteri bagi Pakatan Harapan (PH) kerana tidak ada tokoh dalam gabungan itu yang mampu menyandang jawatan tersebut, kata Rafizi Ramli.
Timbalan presiden PKR itu berkata tidak dinafikan pengerusi PH paling sesuai untuk jawatan tertinggi itu.
“Tiada persoalan daripada PH atau PKR yang calon PM kali ini ialah Anwar.
“Kami pernah hujah Anwar patut diganti, tetapi kami masih belum jumpa “tokoh” daripada PH yang boleh meraih majoriti besar sokongan daripada rakyat,” kata Rafizi kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata adalah sia-sia untuk membincangkan tentang calon ganti sedangkan gabungan itu tidak mempunyai pesaing yang lebih bagus.
“Beliau calon terbaik yang kita ada. Jadi, isunya sekarang dengan calon terbaik, kita kena rapatkan jurang harapan itu dengan pengundi.
“Sebab kalau nak kata Anwar sudah tua, Dr Mahathir Mohamad (bekas perdana menteri) pun sudah tua.
“Kalau orang nak kata beliau tidak ada pengalaman, sebelum ini beliau dalam kerajaan selama 16 tahun,” kata Rafizi.
Beliau berkata dengan kejelasan tentang calon perdana menteri ini, PH sepatutnya mampu tambat hati pengundi atas pagar, khususnya golongan muda.
“Kami masih ada ruang untuk meyakinkan golongan muda dan pengundi atas pagar yang Anwar harapan terbaik untuk masa depan,” kata bekas ahli Parlimen Pandan itu, menambah senarai calon untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dimuktamadkan pada hujung September sekali dengan manifesto.
“PKR bercadang untuk bertanding kira-kira 80 kerusi memandangkan kerusi Bersatu akan dibahagikan oleh semua parti. Kita ada penyandang dan mereka yang bekerja di kawasan yang kita kalah.
“Kami ada calon berpotensi dan kumpulan orang baharu yang akan kami pertimbangkan.”
Beliau bagaimanapun berkata pemilihan calon secara rasmi belum dimuktamadkan.
“Bagi PKR, rangka kerja dan proses pemilihan calon akan dimuktamadkan hujung Ogos ini.
“Dengan mengandaikan pilihan raya akan diadakan tidak lama lagi, pada penghujung September kita sepatutnya memuktamadkan senarai itu.
“Tidak banyak pilihan, tetapi jangka masanya. Jika kita tidak selesaikan calon menjelang September, kita akan ada masalah.”
Pada Ahad, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata PRU15 sudah dekat.
“PRU dah dekat. Dah tak lama dah. Bermakna kita dah kena buat kerja seperti PRU berlaku esok.
“Saya tidak boleh mendedahkan lebih banyak tetapi pilihan raya tidak terlalu jauh. Kami dah bersedia dan saya harap anda jadi lidah kerajaan sampaikan berita baik kepada rakyat,” kata naib presiden Umno itu.
Rafizi berkata 52 kerusi Bersatu akan dirundingkan di antara keempat-empat parti dalam PH atau parti lain yang mahu rapat dengan PH yang mereka fikir ada peluang lebih baik untuk menang.
Pada PRU14, BN bertanding 222 kerusi (menang 79), PKR 71 kerusi (menang 48), DAP 47 kerusi (menang 42), Bersatu 52 kerusi (menang 12), Amanah 34 kerusi (menang 11) dan PAS 157 kerusi (menang 18).
Berhubung manifesto PH, Rafizi berkata jawatankuasa akan bersidang tidak lama lagi dan bagi PKR, mereka juga telah membuat pelantikan untuk mengusahakan manifesto itu.
“Ia semestinya sedang berjalan dan jika kita bersiap sedia untuk pilihan raya umum pada Oktober, manifesto telah dimuktamadkan dan diluluskan pada akhir September.
“Draf pertama akan diberikan kepada PH dalam tempoh dua minggu pertama September.”
Behubung kawasan yang akan ditandinginya pada PRU15, Rafizi berkata secara logiknya beliau akan bertanding di Pandan.
“Sudah tentu kita perlu melalui proses parti. Siapa yang patut bertanding di mana berdasarkan keadaan dan apa yang terbaik untuk parti.
“Secara logiknya, permulaan politik saya bermula di Pandan dan saya rasa sokongan dan asas akar umbi di sana sangat kuat.
“Buat masa ini selamat untuk cakap saya sepatutnya boleh bertanding di Pandan.”
Pada 2018, sejarah tercipta di Dewan Rakyat, apabila PH berkuasa dengan menewaskan BN.
Selepas 22 bulan mentadbir negara, PH tumbang akibat Langkah Sheraton.
Langkah Sheraton pada 2020 menyaksikan Barisan Nasional, Bersatu, PAS, dan puak yang diketuai oleh timbalan presiden PKR ketika itu, Azmin Ali bergabung tenaga untuk menjatuhkan kerajaan PH.
Ini akhirnya membawa kepada pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kelapan negara. – 5 Ogos, 2022.