Najib nafi ada campur tangan politik dalam GLC
Iklan
PERDANA Menteri Najib Razak berkata tiada dengan campur tangan politik dalam penentuan hala tuju syarikat berkaitan kerajaan (GLC) selagi amalan mereka selari dengan agenda negara.
Bagaimanapun, Najib berkata beliau sedia menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan.
“Kerajaan bukanlah menghalang (atau) campur tangan, tetapi untuk membantu selagi ia selaras dengan wawasan dan agenda negara.
“Sekarang saya sudah berikan apa saja yang saya mampu untuk bantu anda. Saya harap, apabila tiba masanya, anda akan bantu saya juga,” Najib berkata demikian pada perhimpunan yang dihadiri oleh syarikat GLC dan Celcom Axiata di Bukit Jalil hari ini.
Sebelum ini, Prof Edmund Terence Gomez dari Universiti Malaya telah berkata bahawa portfolio menteri kewangan tidak boleh dipegang perdana menteri bagi mengekang campur tangan dalam GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Menurut Gomez yang menulis beberapa buku mengenai ekonomi dan politik Malaysia, data pada 2013 menunjukkan hanya tujuh ahli politik Umno mempunyai kedudukan dalam GLC dan GLIC.
Bagaimanapun, beliau berkata jawatan pengerusi dalam GLC dan GLIC masih didominasi ahli politik, birokrat dan bekas birokrat, yang melapor kepada Kementerian Kewangan dan Menteri Kewangan, iaitu Najib yang juga Perdana Menteri.
Berkaitan kebimbangan beliau terhadap belia di negara ini, Najib berkata keutamaannya selepas pilihan raya ialah bagi memastikan sistem pendidikan di Malaysia dapat menyediakan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan untuk berdepan dengan era digital ke arah Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).
“Untuk memastikan bahawa apabila ia berkenaan sistem pendidikan dan ekosistem sokongan yang ada di dalamnya, kita akan dapat menghasilkan belia yang bersedia menghadapi cabaran zaman digital.
“Contohnya, Revolusi Perindustrian 4.0, apakah set kemahiran yang diperlukan untuk menyediakan generasi masa depan?” katanya.
Industri 4.0 digunakan untuk menggambarkan kedatangan ekonomi digital dan penggunaan automasi serta pertukaran data dalam teknologi industri. – 23 Februari, 2018.