Dego Ride luaskan servis dengan bantuan wakil rakyat, kata pengasas
Iklan
PERKHIDMATAN teksi motosikal Dego Ride bekerjasama dengan wakil rakyat untuk meluaskan perkhidmatan mereka selain memberi peluang pekerjaan dan menyediakan kos pengangkutan yang efektif kata pengasasnya Nabil Feisal Bamadhaj.
Nabil memberitahu The Malaysian Insight perkhidmatan mereka juga akan membantu mengurangkan kesesakan trafik yang teruk.
Ini merupakan salah satu alasan pihaknya melibatkan ahli-ahli Parlimen (MP) untuk membantu mempromosikan kaedah pengangkutan yang lebih murah dan cepat kepada kawasan mereka yang mahu ke destinasi yang tidak terlalu jauh.
“Isu utama adalah untuk mendapatkan penunggang jadi kami buat keputusan dapatkan MP untuk membantu kami mendapatkan penunggang dan mencipta peluang pekerjaan kepada pengundi di kawasan mereka.
“MP juga mahu memberi kesedaran kepada kawasan Parlimen mereka yang mempunyai masalah parkir, akses kepada pengangkutan awam dan orang kurang upaya (OKU) yang berdepan kekurangan pilihan pengangkutan,” katanya.
Menurut Nabil pihaknya telah menjalin kerjasama dengan Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Kamarudin Jaffar selain menghantar surat jemputan kepada lebih 20 MP di Kuala Lumpur dan Selangor.
Tambahnya lagi pihaknya merancang untuk mewujudkan program bagi mengumpulkan dana untuk MP di mana mereka boleh menggunakan dana terkumpul itu untuk mencipta peluang pekerjaan, menaik taraf fasiliti dan membantu OKU di kawasan mereka.
Jelas Nabil masalah utama yang dihadapi mereka kini ialah kekurangan penunggang di mana mereka hanya memilik 20 orang penunggang sepenuh masa.
Pihaknya menstruktur semula operasi pada Mei lalu di mana penunggang separuh masa dinyahaktif dan kini mereka hanya menggaji penunggang sepenuh masa.
Sebelumnya Dego Ride memiliki sekitar 1,000 orang penunggang separuh masa dan sepenuh masa.
Hal ini kerana menurutnya ketika permintaan tinggi untuk perkhidmatan mereka namun penunggang separuh masa tidak mengambil penumpang yang menyebabkan gangguan kepada perkhidmatan tersebut.
“Kami berdepan cabaran dalam menyediakan perkhidmatan ini jadi sekarang kami hanya menggaji penunggang sepenuh masa.
“Ini juga untuk kurangkan kadar pembatalan dan memberi kami kawalan serta perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan,” katanya. – 7 Ogos, 2022.
Berita penuh di sini.