Restoran Cina jadi sasaran penipuan tempahan
Iklan
RESTORAN Cina yang sedang bertatih untuk kembali pulih selepas pandemik Covid-19 kini menjadi sasaran penipu menyamar sebagai pelanggan, kata pemilik restoran.
Pemilik restoran berkata penipu berkenaan membuat tempahan makanan dalam jumlah besar dengan permintaan yang agak tidak munasabah, memaksa restoran mengadakan urus niaga dengan rakan perniagaan lain, di mana mereka akan lesap sebaik saja restoran melakukan pembayaran.
Pemilik yang terpedaya dengan taktik penipu itu dilaporkan mengalami kerugian ribuan ringgit.
Walaupun tidak diketahui berapa banyak pemilik restoran yang menjadi mangsa penipuan ini, ia cukup untuk memberikan amaran kepada industri itu.
Pemilik Restoran Daily Fish di Butterworth, Pulau Pinang yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, berkata beliau nyaris menjadi mangsa penipuan itu.
“Saya terima pesanan menerusi WhatsApp untuk menempah tiga meja setiap hari dari 27 Julai hingga 30 Julai,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Kita jadi teruja bila terima tempahan seperti ini, tetapi individu itu mula meminta permintaan yang tidak munasabah, termasuk minta kami beli Buddha jumps over the wall’, iaitu sejenis hidangan makanan yang mahal.
“Penipu itu juga minta saya beli satu jenama khusus dan dia juga beri nombor telefon penjual berkenaan. Bila dihubungi, penjual yang dikatakan menjual hidangan berkenaan minta saya bayar terlebih dulu.
“Masa ini saya sedar ada sesuatu yang tidak kena. Saya beritahu penipu itu dia patut bayar sendiri harga hidangan berkenaan, tetapi dia beri alasan syarikat tidak boleh buka dua akaun untuk membuat bayaran itu.”
Tan berkata apabila beliau enggan membayar, mesej dan panggilan telefon penipu itu juga tidak lagi diterima.
“Individu yang menghubungi saya itu bercakap dalam loghat dari negara China dan nombor yang digunakan juga dari luar negara dengan kod dial +852,” katanya.
Tan berkata walaupun restoran teruja menerima tempahan yang besar, mereka perlu tetap berjaga-jaga dan tidak tamak.
Katanya, ada yang menjadi mangsa tetapi beliau tidak dapat memberikan jumlahnya.
Pengerusi Restoran Koosoo Kwong Choon Tong dan Persatuan Kedai Teh Pulau Pinang Vinah Yee Yook Chee berkata pihaknya ada menerima aduan ahli berkenaan penipu cuba memperdayakan mereka.
“Jika anda terima tempahan dengan bahan mahal, seperti sirip ikan yu atau abalon, anda perlu ambil deposit 50% untuk melindungi perniagaan anda,” katanya. – 11 Ogos, 2022.