Iklan

35,000 warga asing tidak dibenarkan masuk sejak Januari, kata ketua Imigresen

Alfian Z.M. Tahir2 years ago8th Aug 2022Berita
Klia tmi hasnoor 070721
Jabatan Imigresen menafikan bersikap diskriminasi kepada warga asing yang masuk ke Malaysia melalui KLIA. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2022.
Iklan

HAMPIR 35,000 warga asing dihantar pulang sejak Januari tahun ini selepas didapati melanggar peraturan pas masuk, kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Khairul Dzaimee Daud.

Dzaimee berkata warga lima negara paling banyak melanggar peraturan pas masuk adalah dari Bangladesh, Pakistan, India, Nepal dan Vietnam.

“Kami menahan 34,786 warga asing di semua pintu masuk negara dan kesemuanya dikeluarkan notis ‘Not-To-Land (NTL) (Tidak Dibenarkan Mendarat) sejak Januari.

“Di KLIA sahaja, 4,207 individu tidak dibenarkan masuk selepas didapati menyalahgunakan pas masuk,” kata Dzaimee.

Dzaimee memberi respons kepada video tular di Tik Tok yang mendakwa warga asing dari India didiskriminasi oleh Jabatan Imigresen.

Beliau berkata kumpulan warga India itu melanggar peraturan kemasukan pas sosial dengan merancang untuk bekerja secara haram di negara ini.

“Ia bukan isu diskriminasi. Apa yang berlaku kumpulan warga India itu tidak terus ke kaunter kami apabila tiba dan sebaliknya mereka berkeliaran di sekitar lapangan terbang selama beberapa jam,” katanya.

“Apabila kami semak, didapati kesemua mereka tidak tahu ke mana hendak pergi dan datang bukan sebagai pelancong sebaliknya untuk bekerja secara haram.

“Ada antara mereka bersembunyi di tandas lapangan terbang manakala yang lain berlegar-legar di tempat awam,” katanya.

Dzaimee menegaskan tiada sesiapa yang dilayan secara tidak berperikemanusiaan seperti didakwa dalam video tersebut.

“Kami memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua. Ketika pemeriksaan mereka sedang duduk di atas lantai.

“Selepas diperiksa, mereka dihantar pulang ke negara masing-masing. Tiada seorang pun yang didiskriminasikan,” tambahnya. – 8 Ogos, 2022.

Iklan
Iklan