Iklan

Masalah dalaman Bersatu bukan masalah kami, kata Umno 

Melati A. Jalil7 years ago24th Feb 2018Berita
Barisan nasional youth briged gempur 2314 launch 07
Khairy Jamaluddin (tengah) dan Tengku Adnan Tengku Mansor (kanan) menafikan tuduhan kononnya ahli Umno punca berlakunya pergolakan dalam Bersatu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 24 Februari, 2018.
Iklan

PEMIMPIN Umno hari ini menyangkal dakwaan yang ahli partinya menjadi punca berlakunya pergolakan dalam Bersatu.

Ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin menafikan pekara itu sementara setiausaha agung parti itu Tengku Adnan Tengku Mansor berkata yang isu dalaman Bersatu adalah masalah parti itu sendiri.

“Bukan sahaja kami nafikan, malah tak wujud pun perkara sebegitu.

“Saya boleh jamin dekat anda yang ianya bukan kerja ahli Umno,” kata Khairy kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran Briged Gempur Pemuda Barisan Nasional di Kuala Lumpur.

Sebelum ini pemimpin Bersatu menuduh ahli Umno sebagai dalang serangan terhadap parti itu yang dilakukan dari dalam bagi menghalang mereka menjadi pencabar utama Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua Penerangan Bersatu Kamaruddin Mohd Nor berkata ada percubaan untuk menghalang Bersatu dari bertanding dalam PRU14.

Kenyataannya itu berikutan protes oleh ahli dan bekas ahli Bersatu di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) baru-baru ini.

Pada Khamis, lebih kurang 1,000 orang yang mendakwa sebagai ahli Bersatu mengadakan perhimpunan menuntut RoS bertindak terhadap pemimpin parti itu.

Antara mereka yang hadir dalam protes itu termasuklah bekas pemimpin senior Bersatu yang berkata pemimpin parti itu telah melanggar perlembagaan parti sendiri.

Susulan itu, timbalan presiden Beratu Mukhriz Mahathir mendakwa protes itu didorong oleh dedak yang diberikan Umno.

Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata Umno tidak mencampuri urusan parti lain.

“Itu masalah mereka, bukan kami.

“Mereka sendiri yang tak tahu jaga parti sendiri. Mereka patut selesaikan masalah mereka itu sendiri,” kata Tengku Adnan. – 24 Februari, 2018.

Iklan
Iklan