Iklan

Golongan muda masih kurang kesedaran hak mengundi, kata Bersih

Noel Achariam2 years ago13th Aug 2022Berita
Johor politic state election polling day 10
Bersih bimbang pengundi baharu yang didaftar secara automatik tidak tahu mereka boleh membuang undi, sarankan SPR giatkan kempen kesedaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Ogos, 2022.
Iklan

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) perlu memberi kesedaran kepada mereka yang layak membuang undi mengikut undang-undang baharu yang membenarkan golongan berumur 18 tahun dan ke atas mengundi, kata pengerusi Bersih Thomas Fann.

Katanya ia penting bagi mereka yang berumur 18 tahun ke atas tahu proses pengundian memandangkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) makin hampir.

“Kami bimbang ramai yang tidak sedar sesiapa yang berumur 18 tahun ke atas sudah boleh mengundi tanpa daftar.

“Kami gesa SPR lancarkan program didik awam secara besar-besaran melalui media sosial dan arus perdana bagi meningkatkan tahap kesedaran,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dengan pelaksanaan Undi18 dan daftar pemilih automatik (AVR) setakat Januari 2022, sebanyak 5.8 juta penambahan pengundi baharu kepada 15.3 juta pemilih sedia ada, menjadikan jumlah keseluruhan 21.1 juta dalam daftar pemilih.

Fann berkata kempen pendidikan awam juga harus merangkumi proses membuang undi dengan selamat pada hari pengundian.

“Bersih juga akan menjalankan kempen kesedaran sebegini supaya kita dapat meningkatkan peratusan keluar mengundi kepada sekurang-kurangnya 75 peratus.”

Mengenai sama ada SPR telah menyediakan maklumat yang mencukupi mengenai proses pilihan raya, Fann berkata suruhanjaya itu perlu bekerja keras lagi untuk mendidik rakyat.

“Akademi Pilihan Raya (APR) sedang mengadakan taklimat dan latihan untuk institusi pendidikan, agensi kerajaan, kumpulan masyarakat sivil dan lain-lain tetapi ini tidak sampai kepada umum.

“SPR harus libatkan diri dengan penyiar seperti RTM, Bernama dan juga organisasi media swasta untuk tampil dengan kempen kesedaran.”

Dilaporkan SPR melalui APR melaksanakan Program Pendidikan Pengundi sejak 2017 bagi memastikan semua lapisan masyarakat diberi kefahaman tentang kepentingan demokrasi.

Fann berkata cabaran untuk semua pihak berkepentingan dalam PRU15 akan datang adalah untuk mendesak peratusan keluar mengundi yang tinggi berikutan pelaksanaan Undi18 dan AVR.

Pelaksanaan Undi18 secara automatik menyaksikan penambahan pengundi baharu sebanyak 5.8  yang menjadikan jumlah keseluruhan 21.1 juta dalam daftar pemilih. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Ogos, 2022.

“Jika tiada apa yang dilakukan, kita mungkin lihat peratusan keluar mengundi sebanyak 60 peratus atau lebih rendah.

“Ini bermakna sesiapa yang menang pilihan raya tidak akan mempunyai mandat yang kuat untuk mentadbir kerana akan ada lebih ramai yang tidak mengundi kerajaan (yang mereka mahu) berbanding yang turun buang undi.”

Awal bulan ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PRU15 akan diadakan tidak lama lagi.

Beliau menggesa rakyat bekerja keras seolah-olah pilihan raya akan diadakan esok.

Ketika negara terus bergelut dengan pandemik Covid-19, Fann mengingatkan pengundi untuk terus berwaspada dengan koronavirus.

“Sekatan asas Covid-19 seperti penjarakan sosial, pakai pelitup muka dan sanitasi harus dikekalkan.

“Khemah khas harus disediakan untuk mereka yang dijangkiti atau di bawah kuarantin supaya tiada sesiapa pun dinafikan hak mereka untuk mengundi.”

Fann berkata Bersih memerlukan sekurang-kurangnya 300 sukarelawan untuk memerhati sekitar 30% kawasan Parlimen pada pilihan raya akan datang.

“Sejak 2018, kami bekerjasama dengan SPR sebagai pemerhati mereka, yang bermakna kami dapat lihat keseluruhan proses pengundian terus ke bilik mengundi dan proses pengiraan undi.”

Mereka yang berminat boleh mendaftar secara online di https://bit.ly/bersihpemantau – 13 Ogos, 2022.

Iklan
Iklan