Iklan

Belia gerak program subsidi kesihatan mental untuk B40

Raevathi Supramaniam2 years ago14th Aug 2022Berita
51780936278 fd13fd4f37 c
Program subsidi kesihatan mental Inisiatif Menyantuni bermula sebagai program ad hoc bagi memberikan kaunseling percuma kepada mangsa banjir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2022.
Iklan

SEKUMPULAN belia mengambil inisiatif memulakan program subsidi terapi kesihatan mental bagi membantu kumpulan berpendapatan rendah.

Persatuan Bantuan Kesihatan Mental (Nyawa) yang ditubuhkan pada Mei 2021 dianggotai 18 anak muda berusia bawah 30 tahun daripada pelbagai kaum, latar belakang profesional dan akademik.

Program subsidi kesihatan mental itu yang dikenali sebagai Inisiatif Menyantuni bermula sebagai program ad hoc bagi memberikan kaunseling percuma kepada mangsa banjir sebelum kini memberi tumpuan kepada kumpulan berpendapatan rendah.

“Nyawa bermula dengan niat merapatkan jurang antara semangat anak muda dan kebijaksanaan (orang) lama bagi membawa perubahan kepada kesihatan mental yang bukan sahaja progresif dan berani tetapi juga mudah dicapai dan mampan,” kata Jernell Tan, pengasas bersama organisasi itu.

“Inisiatif itu bermula sebagai projek ad hoc ketika krisis banjir besar Malaysia 2021-2022 dengan menyediakan perkhidmatan kaunseling percuma kepada mangsa banjir yang berdepan masalah kesihatan mental.

“Bagaimanapun, kami mendapat banyak panggil kecemasan daripada bukan mangsa banjir yang tidak mampu mendapatkan terapi.

“Akhirnya inisiatif itu diperluas kepada komuniti B40 dengan idea untuk memberikan sesi terapi bersubsidi kepada mereka yang berdepan cabaran kehidupan.”

Tan berkata organisasi itu memutuskan untuk memberi tumpuan kepada kumpulan B40 menerusi “Inisiatif Menyantuni 2.0” dan “Inisiatif 3.0” yang sedang dijalankan sekarang kerana akses perkhidmatan kesihatan mental yang terhad kepada mereka.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, kesihatan mental adalah antara punca utama masalah kesihatan dan kecacatan di Malaysia, dengan 8.6%.

Dalam aspek kos ekonomi, menurut Relate Malaysia, pada 2018, kerugian disebabkan kesihatan mental dianggarkan bernilai RM14.46 bilion (atau lebih 1% daripada KDNK negara).

“Kami memutuskan untuk memberi tumpuan kepada komuniti B40 kerana hubungan di antara ketidaksamaan ekonomi dan masalah kesihatan mental memang sudah terbukti.

“Walaupun hubungan itu sudah terbukti, akses kepada perkhidmatan kesihatan mental untuk komuniti B40 masih lagi terhad,” kata Tan.

Menurutnya lagi, 219 menyertai Inisiatif Menyantuni 2.0.

Mereka diberikan empat sesi seorang dan dicaj sebanyak RM5 untuk satu sesi.

Masalah kesihatan mental yang lazim berlaku adalah kerisauan dan tekanan dan kebanyakan isu berkaitan dengan pekerjaan, keluarga dan perhubungan, kata Nyawa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2022.

Semua sesi dijalankan secara dalam talian bagi memudahkan akses kepada mereka yang tinggal di luar Lembah Klang, kata Tan.

Sebelum sesi dijalankan, semua yang memohon sesi subsidi itu akan menjalani proses saringan dengan memberikan kad pengenalan dan bukti pendapatan mereka, katanya lagi.

Jika mereka layak untuk program subsidi itu, mereka akan menjalani penilaian awal psikologi.

Majoriti pesakit adalah wanita dengan hanya 9.3% adalah lelaki, berusia antara 19 hingga 37 tahun dengan umur median adalah 24 tahun.

Permintaan menggalakkan menyaksikan semua slot tersedia sudah ditempah dalam tempoh hanya 48 jam, kata Tan lagi.

Masalah kesihatan mental yang biasa berlaku adalah kerisauan dan tekanan dan kebanyakan isu berkaitan dengan pekerjaan, keluarga dan perhubungan.

“Pelanggan akan berjumpa sama ada dengan ahli psikologi klinikal profesional, kaunselor, ahli psikologi terlatih atau kaunselor pelatih bergantung kepada keperluan psikologi mereka.

“Mereka akan menerima ID unik dan capaian kepada laman tempahan ahli psikologi terlibat, mereka juga boleh memilih terapi berdasarkan bahasa, kawasan dan ketersediaan sesi.”

Nyawa mempunyai 45 orang ahli psikologi profesional pelbagai bidang yang memberi khidmat secara sukarela untuk Inisiatif Menyantuni yang dijalankan sekarang.

“Mereka sama ada ahli psikologi klinikal profesional, pelatih ahli psikologi klinikal atau kaunselor.”

Dalam jangka masa panjang, organisasi itu berharap dapat mewujudkan rangkaian bersepadu bagi membantu lebih ramai orang.

“Kami akan terus menambah baik pengurusan dan aspek teknikal Inisiatif Menyantuni bagi membantu lebih ramai pelanggan dengan lebih cekap, semampu boleh.

“Dalam masa terdekat, kami berharap dapat mewujudkan sistem bersepadu bagi meningkatkan akses kumpulan berpendapatan rendah kepada pelbagai perkhidmatan kesihatan mental termasuklah bantuan kecemasan psikologi dan penilaian diagnostic,” kata Tan.

Bagi tujuan itu, Nyawa berharap dapat bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia serta organisasi sivil lain, tambahnya. – 14 Ogos, 2022

Iklan
Iklan