Skandal LCS tidak sebesar 1MDB untuk jejas peluang BN, kata penganalisis
Iklan
BLOK pembangkang terbesar, Pakatan Harapan (PH) perlu ada naratif yang ringkas dan mudah difahami bagi mengambil kesempatan terhadap skandal kapal tempur pesisir (LCS) untuk menjejaskan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata penganalisis.
Mereka berkata PH perlu mengikut naratif ringkas Dr Mahathir Mohamad ketika bercakap tentang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada orang ramai sebelum PRU14.
Bagaimanapun mereka berkata walaupun skandal LCS isu yang kompleks, ia mungkin tidak membawa kesan besar yang menjejaskan BN.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar memberitahu The Malaysian Insight ketipa PRU14, Dr Mahathir dapat mengubah pemahaman masyarakat luar bandar yang selama ini percaya kepada BN, dengan menggunakan istilah “pencuri” untuk menggambarkan Najib Razak.
Beliau berkata selagi pemimpin PH seperti Rafizi Ramli, Mohamad Sabu atau Liew Chin Tong tidak dapat menyebarkan naratif mudah kepada orang biasa, gabungan itu tidak akan dapat meraih perhatian pengundi.
“1MDB bukan isu mudah. Ia sangat kompleks dan membabitkan jejak wang. Isu LCS ini, walaupun tidak sebesar 1MDB, tetapi ia tetap rumit.
“Apa yang Dr Mahathir buat bila bercakap kepada rakyat ialah dia guna perkataan seperti ‘pencuri’ atau ‘perompak’ untuk menggambarkan bekas perdana menteri Najib dan mereka yang terbabit dalam skandal itu.
“Orang biasa akan terus faham bila dia kata begitu dan Dr Mahathir berjaya mengubah sokongan daripada BN kepada PH.
“Tetapi jika pemimpin PH tidak dapat menggunakan perkataan mudah seperti Dr Mahathir, mereka tidak akan dapat perhatian rakyat,” katanya.
Beliau berkata skandal LCS masih belum terdedah sepenuhnya kepada rakyat.
“Isu ini belum sampai kemuncak lagi. Skalanya masih kecil. Tetapi daripada pemerhatian kami, Umno masih kekal sebagai parti tidak bersih. Imej itu masih kekal begitu pada masa ini,” katanya.
Hisommudin berkata pembangkang perlu menawarkan jalan penyelesaian, bukan sekadar mencari salah orang lain.
“PH pernah jadi kerajaan, mereka patut tahu rakyat mahukan penyelesaian, bukan tuding jari pada orang lain.
“Jika mereka boleh tawar penyelesaian, boleh boleh tuntut balik apa yang dirampas daripada mereka,” katanya.
Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein yang berdepan kritikan berhubung skandal LCS, berkata kerajaan akan fokus untuk meletakkan projek LCS kembali ke landasannya seperti diputukan Kabinet.
Katanya, rundingan dengan vendor, pengeluar peralatan asal (OEM) dan bank sedang dijalankan.
Pemerolehan kapal tempur itu menjadi kontroversi susulan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang mendedahkan sebuah kapal pun tidak siap waluapun kontrak projek bernilai RM6.083 bilion itu sepatutnya memastikan lima daripada enam kapal siap dan diserahkan sebelum Ogos 2022.
PAC berkata terma dan syarat kontrak RM9 bilion itu tidak menguntungkan kerajaan kerana bayaran projek itu berdasarkan kepada pembangunan dan perolehan barang, bukannya perkembangan pembinaan kapal.
Menurut jadual asal, enam kapal sepatutnya dihantar bulan ini. – 16 Ogos, 2022.
Berita penuh di sini.