Iklan

Jangan salahkan sekolah, BN sendiri amalkan dasar pecah perintah

Gan Pei Ling7 years ago24th Feb 2018Berita
School 20180102 tmihasnoor 007
Murid sekolah dalam perhimpunan mingguan. Hari ini Perdana Menteri Najib Razak berkata sekolah pelbagai aliran adalah punca kepada perpecahan. Justeru kenyataan itu disangkal oleh ahli Parlimen dan aktivis masyarakat yang berkata, BN sendiri yang mengamalkan dasar pecah dan perintah. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 Februari, 2018.
Iklan

POLITIKUS pembangkang dan aktivis pendidikan mendakwa Perdana Menteri Najib Razak hipokrit kerana menyalahkan sistem persekolahan pelbagai aliran di Malaysia sebagai punca perpecahan.

Mereka berkata Barisan Nasional (BN) patut mengukur baju dibadan sendiri dahulu kerana gabungan parti pemerintahlah yang bersalah kerana mempergunakan sensitiviti kaum dan agama bagi mengekal kuasa.

Jurucakap DAP bagi hal ehwal pendidikan, sains dan teknologi, Zairil Khir Johari berkata BN mengamalkan dasar pecah dan perintah BN.

“Adakah kita patut melihat lebih mendalam akar perpecahan ini, bila pemimpin politik menyebarkan dakyah pecah belah dan kerap menggunakan istilah berbaur perkauman untuk mendapatkan undi?

“Selagi Umno dan rakannya dalam BN menggunakan faham perkauman untuk menakut-nakutkan (rakyat), mengancam Melayu dengan “ancaman Cina” dan mengancam Cina dengan “ancaman Melayu,” maka dah tentu rakyat Malaysia akan terus berpecah belah,” kata ahli Parlimen Bukit Bendera itu.

Zairil berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Najib yang pengasingan sekolah di Malaysia telah menjejaskan perpaduan negara.

“Macam yang kita lihat hari sekarang, orang Melayu berada bersekolah di sekolah kebangsaan, sedangkan ada juga SRJK (C), SRJK (T) dan sekolah agama.

“Tiada jalan penyelesaian serta-merta. Kita hanya boleh mencuba untuk menerapkan nilai-nilai teras tertentu di sekolah, seperti belajar untuk untuk berinteraksi lebih baik antara satu sama lain dan saling menghormati,” kata Najib.

Justeru, Zairil berkata kenyataan itu sama sekali salah.

“Dengan logik sebegitu, setiap graduan dari sekolah berasrama yang terkenal seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sudah tentu sangat tebal perkaumannya kerana hidup dan belajar dalam suasana Melayu sahaja.

“Bagaimanapun, kenyataannya ialah sekolah seperti MCKK telah menghasilkan ramai cerdik pandai yang percaya pada idealisme rakyat Malaysia dan juga mereka tidak kisah pun untuk meraikan kemajmukan masyarakat,” katanya.

Zairil memetik beberapa nama sebagai contoh seperti pengarah urusan Khazanah Nasional Bhd Azman Mukhtar, naib presiden PKR Rafizi Ramli dan ketua pemuda Pakatan Harapan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Antara alumni MCKK lain termasuklah ayah Najib, bekas perdana menteri Abdul Razak Hussein, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein dan juga penasihat umum PKR Anwar Ibrahim.

Tambah Zairil, kenyataan bahawa sekolah vernakular Cina menarik sejumlah besar murid dan pelajar bukan Cina membuktikan yang sekolah itu tidak bersikap perkauman tebal dan secara alamiahnya tidak juga bersifat pecah belah.

“Sekurangnya 15% sekolah Cina hari ini terdiri daripada bukan Cina. Dalam sesetengah sekolah, pelajar bukan Cina lebih ramai,” ujarnya.

Sementara itu, Nik Nazmi menegaskan yang sistem pendidikan yang pelbagai adalah tunjang kekuatan kepelbagaian budaya Malaysia.

“Sistem pendidikan sekolah satu jenis sudah tak relevan,” katanya.

Nik Nazmi berkata, sekolah kebangsaan menarik minat ibu bapa sehingga 1990-an, namun minat itu merosot itu membawa pula kepada kebangkitan buat bukan Melayu dan Melayu untuk memasuki sekolah antarabangsa.

Memandangkan sekolah antarabangsa bagai langit dan bumi buat majoriti rakyat Malaysia, oleh itu katanya, kerajaan persekutuan patut meningkatkan standard sekolah kebangsaan supaya dapat menjadi sekolah pilihan rakyat.

Dalam pada itu, aktivis sosial Ho Yock Lin berkata sistem seperti itu tidak akan memecahbelahkan rakyat.

Beliau juga sebahagian daripada ahli Gabungan Bertindak Malaysia yang memperjuangkan sistem pendidikan yang majmuk.

“Awak mungkin ada bermacam aliran sekolah, tetapi jika semua orang telah dididik dengan nilai patriotisme, sayangkan negara, kesaksamaan, adakah anak-anak kita akan berpecah-belah atau mula belajar untuk menghina satu sama lain?” katanya.

Ho berkata, kerajaan patut memberi tumpuan pada cikgu supaya mempunyai jalur pemikiran yang betul selain silabus sekolah yang mempromosikan perpaduan, kepelbagaian dan kesaksamaan.

Tambahnya lagi, politikus dan pemimpin masyarakat yang mempergunakan kaum dan agama untuk memecahbelahkan rakyat patut berhenti berbuat demikian dan mula menunjukan teladan yang bernilai tinggi buat golongan muda. – 24 Februari, 2018.

Iklan
Iklan