Iklan

Ibu miliki anak lahir di luar negara akan terus perjuangkan hak kerakyatan

Raevathi Supramaniam2 years ago18th Aug 2022Berita
Esther
Esther Teo kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang menidakkan hak anak dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight, 18 Ogos, 2022.
Iklan

TERKEJUT, sedih dan tidak percaya. Ini adalah emosi yang dirasai oleh para ibu rakyat Malaysia yang mempunyai anak dilahirkan di luar negara apabila Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan penting yang membolehkan mereka menurunkan kerakyatan kepada anak.

Bagi kebanyakan wanita dan kanak-kanak ini, mereka sudah bertahun-tahun malah beberapa dekad memperjuangkan kewarganegaraan yang sama rata.

Mereka yang bercakap dengan The Malaysian Insight berkata walaupun berasa sedih dengan keputusan mahkamah yang tidak menyebelahi mereka, ia bukanlah pengakhiran dalam memperjuangkan hak kewarganegaraan.

Esther Teo, 35, berkata beliau tidak dapat menahan emosinya apabila mendengar penghakiman itu dan mula menangis.

“Minggu lalu saya benar-benar kecewa dan kini pulih perlahan-lahan,” kata Teo.

“Saya menangis sejak Jumaat lalu dan hanya bersembunyi. Saya cukup aktif di media sosial yang menyokong isu ini, (selepas keputusan Mahkamah Rayuan) komen kebencian amat melampau.”

Teo berkata menerima mesej yang menuduhnya “gatal” kerana berkahwin dengan warga asing.

Teo pernah cuba memohon kerakyatan untuk anak perempuan sulungnya di Kedutaan Besar Malaysia di Frankfurt, Jerman pada 2015 tetapi diberitahu terpaksa menunggu selama dua tahun.

Percubaan pertama Teo untuk memohon kewarganegaraan anak perempuannya adalah di bawah Artikel 15(2), peruntukan Perlembagaan yang menyatakan mana-mana individu di bawah umur 21 tahun dan yang mempunyai seorang ibu bapa warganegara Malaysia, boleh didaftarkan sebagai warganegara atas permohonan kepada kerajaan.

Apabila beliau mencuba sekali lagi baru-baru ini, bahagian yang berkaitan dalam Artikel 14 di mana beliau memohon menyatakan seseorang itu adalah warganegara mengikut kuat kuasa undang-undang jika dilahirkan di luar Malaysia dengan bapanya warganegara Malaysia.

Secara praktikalnya, kerajaan memilih untuk mengambil perkataan “bapa” secara literal, dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada September lalu memutuskan peruntukan Perlembagaan mengenai hak kewarganegaraan mesti dibaca bersama dengan peruntukan menentang diskriminasi jantina.

Atas dasar ini, Hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir memutuskan perkataan “bapa” mesti dibaca untuk memasukkan ibu dan anak-anak mereka berhak mendapat kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang.

Penghakiman ini kemudiannya dibatalkan dalam keputusan majoriti 2-1 oleh Mahkamah Rayuan.

Hakim Mahkamah Rayuan Hakim Kamaludin Md Said dalam penghakimannya berkata perkataan “bapa” dalam Seksyen 1(b) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada bapa sahaja dan tidak bertujuan untuk memasukkan ibu. – 18 Ogos, 2022.

Berita penuh di sini

Iklan
Iklan