PM akan guna skandal LCS lemahkan kluster mahkamah Umno, kata Rafizi
Iklan
SKANDAL kapal tempur psesisir (LCS) memberi peluang buat Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob selepas diasak hebat untuk mengadakan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lebih awal oleh kluster mahkamah Umno, kata Rafizi Ramli.
Timbalan presiden PKR berkata Ismail Sabri akan menggunakan skandal LCS untuk melemahkan kem Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan antara kluster mahkamah Umno.
Kluster mahkamah merujuk kepada sekumpulan pemimpin Umno yang sama ada dibicarakan atau telah disabitkan atas tuduhan pecah amanah jenayah (CBT), salah guna kuasa dan cuci duit.
“Ismail akan menggunakan isu LCS terhadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Najib Razak dan Hishammuddin Hussein. Beliau tahu, jika pilihan raya diadakan tidak lama lagi, beliau mungkin akan hilang jawatan.”
“Najib nak jadi PM balik, Zahid pun nak jadi PM, Hishammuddin pun katanya nak jadi PM. Jadi apa yang Ismail ada, isu ini akan hentikan tuntutan itu,” katanya di hadapan lebih kurang 200 hadirin semasa melancarkan kempen Ayuh Malaysia di Wangsa Maju malam tadi.
Semalam, Ahmad Zahid mendesak Ismail Sabri agar PRU15 diadakan dalam masa beberapa bulan akan datang bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).
Melalui Facebook, pengerusi BN itu berkata BN sekarang berada pada tahap terkuat dan “sangat yakin” dengan peluangnya untuk menang.
“Umno tidak mahu pembangkang terus menggunakan bulan-bulan terakhir sebelum bubar parlimen untuk menyerang BN.
“Apabila melengahkan PRU bermakna kita memberikan senjata kepada musuh untuk terus menyerang,” katanya.
Ismail Sabri bagaimanapun menjawab desakan itu dengan berkata sebarang pilihan raya hanya boleh dilakukan apabila “negara sudah bersedia”.
Dalam ucapan di televisyen sempena setahun menjadi perdana menteri, beliau berkata tidak perlu terburu-buru kerana rakyat harus diberi ruang untuk mengundi siapa yang mereka fikir patut jadi kerajaan agar negara juga tidak tergesa-gesa.
Katanya rakyat ada hak untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu perolehan LCS, dan kerajaan tidak akan berdiam diri kerana ia melibatkan integriti.
Tegasnya, perolehan aset oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam kontrak RM9.13 bilion perlu dijelaskan secara berhemah bagi mengelak spekulasi dan rakyat boleh membuat kesimpulan.
“Kerajaan sebelum ini gagal sebab tidak jelaskan dengan betul kepada rakyat apabila isu 1MDB (1Malaysia Development Bhd) timbul. Itu akhirnya menyebabkan orang ramai membuat spekulasi dan membuat kesimpulan sendiri tentang apa yang telah berlaku, walaupun apa yang mereka fikir tidak berlaku atau tidak berlaku seperti yang dijangka.
Rafizi berkata Najib, Ahmad Zahid dan Hishammuddin tidak boleh cuci tangan mereka daripada skandal itu kerana masing-masing mempunyai peranan dalam perolehan tersebut.
“Zahid yang sebelum ini menafikan sebarang salah laku, tetapi kini satu dokumen bocor menunjukkan beliau beri kelulusan waktu jadi menteri pertahanan.”
“Najib menteri kewangan (ketika itu) dan sebarang keputusan oleh pihak pembelaan mengenai perbelanjaan kerajaan mesti melaluinya.”
Dua minggu lepas, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengeluarkan laporannya mengenai perolehan LCS kementerian daripada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd melalui rundingan terus.
Walaupun kerajaan telah membayar kos RM6.08 bilion, tiada satu pun kapal telah dihantar.
Mengikut jadual asal, lima LCS sepatutnya dihantar kepada kementerian bulan ini.
Baru-baru ini, Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata dalam satu hantaran di Facebook kerajaan akan memberi tumpuan untuk mengembalikan semula projek LCS seperti yang diputuskan oleh Kabinet. – 21 Ogos, 2022.