Iklan

Wanita dikaitkan dengan skandal LCS bukan isteri saya, kata menteri

Alfian Z.M. Tahir2 years ago22nd Aug 2022Berita
Littoral combat ship tmikamal 01
Iklan

ABDUL Latiff Ahmad menafikan wanita yang dinamakan oleh Rafizi Ramli terbabit dalam transaksi mencurigakan membabitkan projek kapal tempur pesisir (LCS) adalah isterinya.

“Merujuk kepada laporan berita yang tular berkaitan siasatan projek LCS, saya menegaskan bahawa Zainab Mohd Salleh bukan isteri saya seperti mana yang dinyatakan dalam berita tersebut.

“Sebagai anggota Kabinet, saya bersedia memberi kerjasama penuh sekiranya pihak berkuasa ingin menjalankan siasatan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan media ringkas.

Pagi tadi timbalan presiden PKR mendakwa isteri kepada seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri terlibat dengan transaksi mencurigakan melibatkan projek LCS.

Rafizi mendakwa, penyelewengan lebih RM233 juta itu membabitkan syarikat isteri kepada kepada Abdul Latiff Ahmad, menteri dalam pentadbiran Ismail Sabri Yaakob pada waktu ini.

Menurut Rafizi, wanita yang dinamakannya sebagai Zainab Mohd Salleh itu terlibat menjadi pemegang saham dalam syarikat luar pesisir bagi menyeleweng dana projek LCS.

Syarikat yang dinamakannya Alizes Marin Limited dan Alizes Marine Labuan itu dikenalpasti melalui kebocoran pangkalan data syarikat luar pesisir dalam Panama Papers, dakwa Rafizi dalam kenyataannya.

Abdul Latiff merupakan timbalan menteri pertahanan dari 2008 hingga 2013, yang mana Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi merupakan menteri pertahanan ketika itu.

Selepas pilihan raya umum 2018 Abdul Latiff keluar Umno dan menyertai Bersatu.

The Malaysian Insight telah menghubungi bekas timbalan menteri itu untuk mendapatkan penjelasan lanjut. – 22 Ogos, 2022.

Iklan
Iklan