Iklan

Apa nasib Najib hari ini?

Noel Achariam2 years ago23rd Aug 2022Berita
Najib razak src special prayer 08
Najib Razak menegaskan mmenegaskan beliau tidak terbabit dalam kes SRC International Sdn Bhd atau menyelewengkan dana syarikat itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2022.
Iklan

MAHKAMAH Persekutuan hari ini akan membuat keputusan dalam rayuan akhir bekas perdana menteri Najib Razak untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara ke atasnya bagi kesalahan penyelewengan RM42 juta milik dana SRC International, melainkan pada saat akhir panel hakim menangguhkan prosiding ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Tidak lama selepas Najib mengangkat sumpah mubahalah di Masjid Kampung Baru dua hari lalu, anak lelakinya Mohd Nizar menerusi catatan di Facebook menyeru kepada para penyokong ahli Parlimen Pekan itu hadir di mahkamah di Putrajaya hari ini sebagai tanda sokongan kepada bapanya.

Semasa membacakan sumpah itu Najib menegaskan beliau tidak terbabit dalam kes SRC International atau menyelewengkan dana syarikat itu.

Jumaat lepas, Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram selesai menggulung hujah, manakala pembelaan memberitahu mahkamah mereka tidak akan membuat sebarang hujah sama ada secara bertulis atau lisan untuk membela anak guam mereka.

Pasukan pembelaan baharu diketuai Hisyam Teh Poh Teik berkata mereka akan bergantung kepada hujahan bertulis yang dikemukakan pasukan peguam Najib sebelum ini di Mahkamah Rayuan.

Pasukan pembelaan baharu Naji Razak diketuai peguam Hisyam Teh Poh Teik. Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2022.

Pada 26 Julai, Najib menamatkan khidmat peguam Muhammad Shafee Abdullah dan firma Tetuan Shafee & Co daripada mewakilinya dalam rayuan akhir kes SRC. 

Panel lima hakim untuk mendengar keputusan akhir Najib merayu bagi membatalkan sabitan dan hukumannya dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim; serta Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim dan Mohamad Zabidin Diah.

Semasa prosiding Jumaat lalu, Tengku Maimun memberitahu Hisyam peguam itu mempunyai masa tiga hari untuk bersedia untuk memfailkan hujah.

Sebelum itu pada Khamis lepas, Hisyam memohon untuk menarik diri daripada mengendalikan rayuan akhir Najib. Permohonan itu dikemukakan selepas mahkamah sekali lagi menolak permohonan pembelaan untuk menangguhkan rayuan atas alasan mereka baharu sahaja dilantik.

Mahkamah bagaimanapun tetap mahu Hisyam meneruskan tugas mewakili Najib.

Nasib Najib akan ditentukan hari ini.

Jika pasukan pembelaan Najib tetap dengan pendirian untuk tidak mengemukakan sebarang hujah, dan jika Mahkamah Persekutuan menolak sebarang permohonan pada saat akhir untuk menangguhkan prosiding, maka rayuan akhir Najib akan dimuktamadkan.

Beberapa peguam terkemuka yang mengulas kes ini berpendapat mahkamah boleh membuat keputusan serta-merta walaupun tiada hujahan daripada peguam bela Najib.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla pada Ahad dipetik Bernama berkata ini mahkamah boleh membuat keputusan berdasarkan hujahan bertulis yang difailkan sebelum ini oleh pasukan pembelaan Najib di Mahkamah Rayuan tahun lepas.

Beliau berkata ia juga boleh dibuat berdasarkan petisyen rayuan yang difailkan oleh peguam cara Najib sebelum ini pada 25 April lepas, yang menyenaraikan 94 alasan mengapa Najib perlu dibebaskan.

“Terdapat bahan yang mencukupi di hadapan Mahkamah Persekutuan untuk dibincangkan walaupun tanpa penghujahan lisan. Oleh itu, tidak mungkin kes itu akan ditangguhkan,” katanya.

Sementara itu, peguam Gurdial Singh Nijar pula berpendapat mahkamah mungkin memuktamadkan perbicaraan pada hari itu, tetapi akan mengekalkan penghakimannya kepada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Pada 28 Julai 2020, hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini hakim Mahkamah Rayuan) mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahguna kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

Najib kini dibebaskan selepas diikat jamin sebanyak RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuan.

Mahkamah Rayuan pada 8 Disember tahun lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap bekas perdana menteri itu.

Najib Razak mengangkat sumpah mubahalah di Masjid Kampung Baru dua hari lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2022.

Berikut kronologi proses rayuan Najib:

2020

11 Mac : Pihak pembelaan tutup kes selepas selesai memanggil 19 saksi sepanjang 33 hari perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

1 Jun: Mahkamah Tinggi mula mendengar hujahan kes yang dihadapi Najib. Pasukan pembelaan dan pendakawaan memfailkan hujahan bertulis pada 5 Mei 2020, manakala 19 Mei bagi kedua-dua pihak menjawab hujahan bertulis itu.

28 Julai: Hakim Nazlan memerintahkan Najib dipenjarakan 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah amanah wang RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, serta 12 tahun penjara dan denda RM210 juta (jika gagal bayar, lima tahun penjara) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagi tuduhan pengubahan wang haram pula, hakim memerintahkan Najib dipenjara 10 tahun bagi setiap tuduhan. Mahkamah bagaimanapun memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak, bermakna Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Mahkamah membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dengan jaminan RM2 juta.

2021

5 April: Rayuan Najib mula didengar di Mahkamah Rayuan di hadapan panel tiga hakim diketuai Abdul Karim Abdul Jalil, yang bersidang bersama Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera.

23 November: Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Disember untuk keputusan rayuan Najib. 

Najib mohon melapangkan tarikh keputusan rayuannya kerana perlu menjalani kuarantin selama tujuh hari bermula 5 Disember selepas melawat anak perempuannya Nooryana Najwa yang baru melahirkan anak kedua di Singapura, bagaimanapun ditolak Mahkamah Rayuan.

2 Disember: Najib fail permohonan saat akhir di Mahkamah Rayuan untuk dibenarkan memasukkan bukti baharu untuk menyokong pembelaannya. 

6 Disember:  Pasukan pembelaan Najib diketuai Muhammad Shafee Abdullah mohon pengangguhan pendengaran untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes rayuan SRC International ekoran salah seorang daripada mereka dijangkiti Covid-19. 

7 Disember: Mahkamah Rayuan tolak permohonan Najib untuk tangguhkan keputusan rayuan dan permohonan untuk memasukkan bukti baharu. Panel hakim  sebulat suara berkata bukti terbabit tidak perlu bagi pertimbangan rayuan kes.

8 Disember: Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan Najib bersalah atas tujuh pertuduhan yang dikaitkan dengan RM42 juta dana SRC International.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Abdul Karim Abdul Jalil menyampaikan penghakiman sebulat suara semasa prosiding secara hibrid.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan bagi prosiding rayuan akhir Najib Razak dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2022.

2022

15 Ogos: Rayuan akhir Najib untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi bermula dengan pasukan pembelaan baharunya diketuai peguam Hisyam Teh Poh Teik memohon untuk mengemukakan bukti baharu. 

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat. Hakim lain ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Nallini Pathmanathan, Mary Lim dan Zabidin Mohd Diah.

16 Ogos: Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Najib untuk kemuka bukti baharu. Mahkamah juga menolak permohonan pasukan pembelaan untuk menangguhkan prosiding rayuan akhir Najib.

Mahkamah menetapkan prosiding rayuan akhir Najib bermula 18 Ogos.

18 Ogos: Permohonan Hisyam untuk menarik diri daripada mewakili Najib ditolak.
 
19 Ogos: Najib menggugurkan pasukan peguamnya daripada Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners. Hanya Hisyam dan dua pembantunya kekal dalam pasukan pembelaan Najib.– 23 Ogos, 2022.     

Iklan
Iklan