Iklan

Mahkamah Persekutuan kekal sabitan Najib

Najib razak tmi 13 (1)
Para penyokong bekas perdana menteri Najib Razak berkumpul di hadapan Istana Kehakiman di Putrajaya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 23 Ogos, 2022.
Iklan

RAYUAN akhir Najib Razak di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman sabitan dan hukuman penjara ke atasnya bagi kesalahan penyelewengan RM42 juta milik dana SRC International Sdn Bhd diteruskan hari ini.

Kelihatan para penyokong bekas perdana menteri itu mula berkumpul di Istana Kehakiman di Putrajaya sejak jam 8 pagi tadi

Pada 28 Julai 2020 Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahguna kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

Tidak dapat dipastikan sama ada panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan akhir Najib akan memutuskan nasib beliau pagi ini.

Peguam utama pasukan pembelaan, Hisham Teh Poh Teik pada Jumaat lepas memaklumkan kepada mahkamah beliau tidak akan membuat sebarang hujahan sama ada secara bertulis atau lisan bagi membela Najib.

Jumaat lalu juga Najib menggugurkan pasukan peguamnya daripada Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners. Hanya Hisyam dan dua pembantunya kekal dalam pasukan pembelaan Najib.

Panel hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat bagaimanapun berkata prosiding akan diteruskan hari ini.

The Malaysian Insight melaporkan secara langsung keputusan rayuan akhir Najib:

4.40 petang: Najib dikelilingi Rosmah, anak perempuan, anak lelaki dan peguam. Beliau dilihat tersenyum ketika bercakap dengan Rosmah.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi turut hadir.

4.30 petang: Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Najib dan mengekalkan hukumannya dalam kes rasuah SRC International.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata rayuan itu ditolak sebulat suara dan sabitan serta hukuman dikekalkan.

“Waran komital akan dikeluarkan.”

3.58 petang: Najib rayu Mahkamah Persekutuan benarkan penangguhan dua bulan agar peguamnya bersedia membelanya.

Katanya, jika diberi masa dua bulan beliau boleh mengumpulkan satu pasukan untuk mendapatkan perwakilan yang mencukupi dalam perbicaraannya.

Najib berkata beliau kini tidak diwakili mana-mana peguam.

“Hakikatnya saya tidak diwakili (peguam). Tidak pernah ada satu pun dalam sejarah Malaysia (di mana peguam) tidak dibenarkan tarik diri.

“Izinkan saya menjalani hari saya di mahkamah untuk membentangkan hujah penuh kes saya. Hidup dan kebebasan saya bergantung kepadanya.”

3.32 petang: Mahkamah menolak permohonan Najib agar Tengku Maimun tarik diri.

Ketua Hakim Negara berkata beliau akan menyampaikan keputusan rayuan itu.

Najib kemudian meminta untuk menghadap mahkamah, yang kemudian dipersetujui oleh Tengku Maimun.

3.24 petang: Mahkamah Persekutuan kembali bersidang selepas Najib kembali ke kandang tertuduh.

Najib Razak sempat berjumpa sekejap para penyokongnya di luar mahkamah, memberitahu mereka berserah dan terima apa sahaja keputusan Mahkamah Persekutuan yang kemudian disambut dengan tangisan orang ramai. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 23 Ogos, 2022.

3.10 petang: Najib keluar sebentar ke belakang mahkamah semasa rehat untuk bertemu, berbual bersama penyokongnya.

Najib memberitahu beliau bersedia menerima sebarang keputusan yang dibuat Istana Kehakiman.

“Jika keputusan itu tidak menyebelahi kita, kita akan terima,” katanya.

Beberapa penyokongnya menitiskan air mata selepas mendengar ucapan ahli Parlimen Pekan itu, berkata mereka masih yakin beliau tidak bersalah.

Najib sekali lagi menegaskan beliau tidak diberikan perbicaraan yang adil seperti yang lain.

“Saya tidak dapat keadilan dan saya juga tidak ada peguam untuk mewakili saya.

“Ini kali pertama saya didakwa namun rayuan saya untuk lanjutkan masa untuk kemuka hujah telah ditolak.

“Dalam kes lain, ada juga yang membuat kes mereka ditangguhkan sehingga 70 kali tetapi saya meminta sekali pun tidak dapat.

“Jadi, kita tunggu apa sahaja keputusan. Jika keputusan itu tidak menyebelahi dengan kita, saya minta maaf.

“Tetapi perjuangan kita untuk keadilan mesti diteruskan,” tambahnya.

1.22 tengah hari: Isteri Najib, Rosmah Mansor tiba di kamar mahkamah.

Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri, yang mengenakan pakaian merah jambu dengan pelitup muka ungu dilihat hadir di Istana Kehakiman di Putrajaya tengah hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 23 Ogos, 2022.

12.43 tengah hari: Sithambaram berkata jika pihak pembelaan ada bukti, mereka sepatutnya dedahkan lebih awal.

“Mereka (pembela) ada fakta (untuk mohon Tengku Maimun tarik diri) tetapi tidak buat demikian (lebih awal).

“Kamu (pembelaan) tidak dedahkan apa yang kamu ada selagi ia tidak ikut cara kamu. Tiba-tiba kamu ‘keluarkan burung merpati’ (fakta baharu),” katanya menggunakan perumpamaan kepada silap mata.

Sithambaram berkata permohonan itu tidak boleh dipertimbangkan dan perlu ditolak mentah-mentah.

Mahkamah berhenti seketika untuk panel meneliti permohonan Najib supaya Tengku Maimun tarik diri.

Para penyokong bekas perdana menteri Najib Razak berkumpul makan tengah hari di hadapan Istana Kehakiman di Putrajaya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 23 Ogos, 2022.

12.32 tengah hari: Sithambaram menegaskan permohonan saat akhir pembelaan supaya Tengku Maimun menarik diri berniat jahat dan menyalah guna proses mahkamah.

“Mereka boleh fail (permohonan) pada 17 Ogos, kenapa tunggu hingga malam tadi atau pagi ini?

“Mereka biarkan saya menggulung hujah pada Jumaat. Mereka kata tidak akan kemuka sebarang hujah hari ini. Kemudian fail permohonan (agar Tengku Maimun tarik diri).

“Pembelaan sengaja mahu melengah-lengahkan keputusan. Permohonan ini jelas berniat jahat,” katanya.

11.47 pagi: Shafee sekali berkata beliau memerlukan masa untuk membantu peguam Najib membuat penghujahan lisan bagi permohonan mengetepikan Tengku Maimun.

“Saya ada urusan penting di Parlimen hari ini, sebab itu saya tidak boleh teruskan (hari ini).

Tengku Maimun tolak permohonan Shafee.

Shafee berkata beliau akan hadir di mahkamah esok pagi.

Tengku Maimun beritahu Shafee mahkamah tidak akan bersidang esok kalau keputusan dimuktamadkan hari ini.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah (kanan) kembali menyertai pasukan pembelaan Najib Razak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 23 Ogos, 2022.

11.40 pagi: Shafee mohon agar perbicaraan ditangguhkan kepada pagi esok untuk membolehkan beliau membuat persediaan mencukupi bagi mengemukakan hujah lisan.

Tengku Maimun bertanya kepada Sithambaram jika pendakwaan ada bantahan.

Sithambaram berkata pasukan pembelaan sengaja mahu melengahkan perbicaraan.

“Pendakwaan melihat permohonan yang difailkan tertuduh (Najib) adalah cubaan untuk membatalkan rayuan.

“Cara pihak tertuduh mengendalikan kes berniat jahat. Saya membantah penangguhan prosiding,” katanya.

11.15 pagi: Hisyam memberitahu mahkamah bekas peguam bela Najib, Muhammad Shafee Abdullah akan menyertai semula pasukan pembelaan untuk membantunya.

Hisyam memohon agar prosiding ditangguhkan untuk seketika sementara menunggu Shafee tiba.

Tengku Maimun bagaimanapun mengarahkan Hisyam memulakan penghujahan lisan.

Penyokong Najib Razak di luar bangunan Istana Kehakiman di Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 23 Ogos, 2022.

11.08 pagi: Prosiding bersambung

10.17 pagi: Prosiding berhenti buat sementara waktu.

10.07 pagi: Tengku Maimun Tuan Mat mengarahkan prosiding dihentikan seketika bagi membolehkan panel hakim menerima serta meneliti permohonan yang dikemukakan Najib semalam.

9.52 pagi: Tengku Maimun memberitahu Hisyam anak guamnya berdepan hukuman penjara jika peguam itu enggan mengemukakan hujah pembelaan.

Hakim itu mengarahkan Hisyam membalas hujah Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram yang dikemukakan pada Jumaat lepas.

Hisyam menjawab beliau tidak bersedia membuat sebarang hujah.

Anak perempuan Najib Razak, Nooryana Najwa turut hadir di Mahkamah Persekutuan hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 23 Ogos, 2022.

9.51 pagi: Tengku Maimun bertanya kepada peguam utama Najib, Hisham Teh Poh Teik sama ada beliau akan mengemukakan hujah. Hisyam menjawab tidak.

Hisyam memaklumkan anak guamnya sudah memfailkan permohonan untuk menggugurkan Tengku Maimun daripada mendengar rayuan akhirnya. Katanya, permohonan itu membangkitkan persoalan undang-undang.

Hisyam juga memberitahu mahkamah pihaknya ingin membalas hujah pihak pendakwa bahawa mahkamah boleh membuat keputusan tanpa mendengar hujah pembelaan.

Bagaimanapun beliau menegaskan mahkamah perlu terlebih dahulu memutuskan permohonan Najib supaya Tengku Maimun menarik diri.

Katanya, permohonan Najib itu sudah diserahkan kepada pihak pembelaan.

9.44 pagi: Mahkamah mula bersidang

9.42 pagi: Anak Najib, Mohd Nizar dan Nooryana Najwa duduk di belakang ayah mereka di kamar mahkamah.

Najib Razak di Istana Kehakiman pagi ini bagi menghadiri prosiding rayuan akhir kes SRC International yang dihadapinya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 23 Ogos, 2022.

9.39 pagi: Seorang ahli perniagaan yang hanya ingin dikenali sebagai Datuk Michael menyifatkan Najib sebagai perdana menteri terbaik yang banyak berjasa kepada rakyat tanpa mengira kaum.

“Beliau banyak berjasa kepada orang Cina. Pendidikan dan ekonomi negara semasa beliau jadi perdana menteri diurus dengan cemerlang,” katanya.

Michael berpendapat Najib tidak dibicarakan dengan adil.

“Kami mahu keadilan buat najib dan kami mendoakan beliau.”

9.20 pagi: Najib tiba.

Para penyokong bekas perdana menteri Najib Razak berkumpul di Istana Kehakiman di Putrajaya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 23 Ogos, 2022.

9.15 pagi: Sekitar 500 penyokong Najib yang berkumpul di perkarangan Istana Kehakiman melaungkan ‘Allahuakbar’, ‘Hidup Bossku’ dan ‘insya-Allah menang’. – 23 Ogos, 2022.     

Iklan
Iklan