Peniaga kuih bulan yakin jualan meningkat selepas pandemik
Iklan
PENJUAL kuih bulan yakin tahun ini lebih ramai orang akan meraikan Perayaan Kuih Bulan, yang akan kembali selepas dua tahun pandemik melanda.
Mereka menjangkakan lebih banyak keluarga dan rakan-rakan berkumpul untuk meraikan sambutan tradisi tersebut di mana semua orang berkumpul menjamu selera serta berkongsi kuih bulan.
Pemilik JMMcookies Eugene Tan percaya pasaran tahun ini akan lebih baik berbanding tahun lepas, kerana jualan dalam talian mereka boleh diselaraskan dengan jualan runcit mereka.
“Wabak Covid-19 dan sekatan pergerakan telah menyekat sepenuhnya jualan runcit, jadi kami cuma boleh fokus pada pasaran dalam talian.
“Tahun ini, terdapat lebih 50 lokasi untuk membeli kuih bulan di pasar raya seluruh negara.
“Terdapat lebih banyak saluran untuk menjual produk kami, jadi saya optimis tentang jualan dan kuantiti.”
Katanya, selepas pusat pemeriksaan Malaysia-Singapura dibuka, rakyat Malaysia boleh kembali untuk menyambut perayaan itu, justeru pasaran agak optimistik.
Tan berkata kaedah jualan dalam talian syarikat agak unik tahun ini, termasuk mendapatkan selebriti bagi mempromosikan barangan melalui siaran langsung, yang telah menarik lebih banyak perhatian.
“Mengikut trend semasa, keseluruhan (jualan) secara beransur-ansur stabil. Lokasi jualan terbaik adalah di Lembah Klang, diikuti Johor Bahru serta rakyat Malaysia yang pulang dari Singapura. Jadi, anda boleh nampak jualan telah berkembang dengan ketara dan pasaran secara keseluruhannya semakin pulih.”
Beliau merasakan walaupun berlaku inflasi, pengguna yang menghadiahkan kuih bulan sepatutnya meningkat.
Bagaimanapun, katanya, bagi mengambil kira perbelanjaan berhemat, syarikat memutuskan tidak akan menaikkan harga jenis kuih bulan popular tahun ini dan menyerap kos.
“Kami akan ambil keuntungan kecil tetapi mencari perolehan yang cepat, dan selagi kami dapat jualan dalam talian dan runcit, kami percaya kami boleh nampak keuntungan. Pada masa ini, harga sekotak kuih bulan antara RM39.90 hingga RM80.”
Pengasas Kam Lun Tai Food Industries Sdn Bhd, Lum Tuck Loy berkata, walaupun inflasi masih berlaku, ramai pengguna akan membeli kuih bulan.
“Dulu jika pengguna membeli tiga kotak, tetapi tahun ini ia akan dikurangkan kepada dua kotak atau satu kotak untuk perayaan.”
Katanya, kenaikan harga bahan mentah menyebabkan kos kuih bulan meningkat, jadi purata harga kuih bulan meningkat 10 peratus tahun ini. – 25 Ogos, 2022.