2,078 kes baharu, 10 maut angkara Covid, lapor KKM
Iklan
NEGARA mencatatkan 2,078 kes baharu Covid-19 semalam, menurun sedikit berbanding 2,464 kes pada sehari sebelum semalam, kata Kementerian Kesihatan (KKM)
Jumlah itu menjadikan jangkitan terkumpul meningkat kepada 4,759,830 dengan kes aktif kini sebanyak 37,696.
Daripada kes semalam, 2,066 jangkitan adalah penularan tempatan manakala 12 lagi adalah kes import.
Selain itu 10 kematian turut dicatatkan pada Isnin yang mana tiga daripadanya diisytiharkan sebagai maut sebelum sampai di hospital, menurut CovidNow.
Negeri dengan kematian tertinggi ialah Johor sebanyak 3 kes diikuti Negeri Sembilan (2), Putrajaya (2), Kedah (1), Melaka (1) dan Pulau Pinang (1).
Sejak pandemik Covid-19 melanda negara pada Mac 2020, sebanyak 36,155 kematian telah dilaporkan.
Sementara itu, bagi kemasukan ke hospital, 1,409 pesakit Covid-19 dimasukkan dengan 69 ditempatkan di unit rawatan rapi.
Jumlah kemasukan tertinggi semalam dicatatkan di Selangor (95) diikuti Sabah (70) dan Johor (55). – 23 Ogos, 2022.