Iklan

Guan Eng mahu Abdul Hadi dikenakan tindakan sebab keluar kenyataan perkauman

Raevathi Supramaniam2 years ago23rd Aug 2022Berita
Lim Guan Eng
Iklan

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang perlu dikenakan tindakan berhubung kenyataannya tentang kebanyakan pelaku rasuah adalah bukan Islam dan bukan bumiputera, kata Lim Guan Eng hari ini.

Pengerusi DAP itu berkata tuduhan Abdul Hadi itu tidak berasas, memecahbelahkan dan berunsur perkauman.

“Laporan polis harus dibuat, dan tindakan diambil terhadap Hadi kerana penjenamaannya yang tidak berasas, memecah belah, perkauman dan melampau terhadap orang bukan Islam dan bukan Melayu sebagai punca rasuah di Malaysia.

“Sehingga kini, Abdul Hadi tetap tidak menarik balik kata-katanya dan tidak malu,” kata Lim dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata ini juga bukan kali pertama Abdul Hadi terlibat dalam ucapan sedemikian terhadap bukan Islam dan bukan bumiputera.

“Beliau sebelum ini cakwa orang bukan Islam tidak ada hak untuk pegang jawatan menteri dalam Kabinet.

“Abdul Hadi juga salah apabila mendakwa orang bukan Islam dan bukan bumiputera merampas kuasa politik daripada orang Melayu dan Islam walaupun perdana menteri, timbalan perdana menteri, setiap jawatan pegawai kanan dalam perkhidmatan awam, Angkatan Tentera dan Polis tidak pernah dipegang oleh bukan bumiputera atau bukan Islam.

“Selanjutnya PAS mahu mengharamkan konsert, Oktoberfest dan pesta kebudayaan Bon Odori walaupun acara ini hanya dihadiri oleh bukan Islam atau ia hanya acara kebudayaan yang telah dianjurkan selama beberapa dekad tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.”

Lim berkata Hadi telah bertindak melampau kerana mereka yang berada dalam kerajaan juga turut membenarkannya.

“Tiada seorang pun menteri bukan Islam yang membangkitkan isu ini dalam Kabinet dan menteri PAS harus menjadi menteri untuk semua rakyat Malaysia dan bukan hanya umat Islam dan bumiputera sahaja.

“Rakyat Malaysia, terutamanya dari Sabah dan Sarawak tidak boleh membenarkan PAS menyebarkan ideologi kebencian yang jelas dan berbahaya kepada kesucian Perlembagaan Persekutuan, keutuhan negara dan perpaduan rakyat kita. PAS tidak boleh dibenarkan memainkan apa-apa peranan dalam kerajaan melainkan ia minta maaf secara terbuka dan menafikan ideologi perkauman dan ekstremis itu.”

Minggu lepas Abdul Hadi berkata kebanyakan pelaku rasuah di Malaysia adalah bukan Islam dan Bukan Bumiputera.

Beliau berkata hanya orang Islam yang mempunyai integriti.

Kumpulan hak asasi manusia Transparency International Malaysia (TI-M) berkata kenyataan Abdul Hadi “tidak berasas dan provokatif”. – 23 Ogos, 2022.

Iklan
Iklan