Iklan

Najib boleh mohon semakan keputusan hakim, kata peguam

Raevathi Supramaniam2 years ago23rd Aug 2022Berita
Penjara sungai buloh tmikamal 01
Media menunggu ketibaan Najib Razak di depan Penjara Sungai Buloh susulan perdana menteri itu diperintahkan menjalani hukuman penjara bermula hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 23 Ogos, 2022.
Iklan

TINGGAL satu saja lagi pilihan tindakan undang-undang yang boleh diambil Najib Razak untuk membatalkan sabitan hukuman terhadapnya berhubung kes SRC International Sdn, selepas gagal permohonan hari ini.

Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman dan memerintahkan bekas perdana menteri itu memulakan hukuman penjara 12 tahun, hari ini dan membayar denda RM210 juta atas kesalahan salah guna dana SRC sebanyak RM42 juta.

Peguam kanan Alex de Silva berkata Najib pada masa ini boleh memfailkan semakan mengikut Peraturan 137 Peraturan-Peraturan Mahkamah Persekutuan 1995.

“Rasanya beliau akan membuat permohonan semakan keputusan itu mengikut Peraturan 137 Peraturan-Peraturan Mahkamah Persekutuan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Dalam kes ini, mereka tidak melihat semula merit kes; mereka akan lihat proses itu, sama ada Najib diberikan proses sewajarnya atau ada ketidakadilan terhadap beliau hingga memberi kesan kepada keputusan akhir.”

De Silva berkata peguam Najib boleh menggunakan alasan mereka tidak mempunyai masa mencukupi untuk bersedia atau beliau tidak diwakili peguam, atau pun tuduhan yang Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berat sebelah.

“Saya tidak pasti ia boleh berjaya atau tidak. Permohonan semakan keputusan sangat sukar dan beliau perlu ada asas kukuh,” katanya.

Satu contoh di mana permohonan semakan akan berjaya ialah apabila ketika prosiding panel lima hakim, salah seorang daripadanya keluar dari mahkamah, katanya.

“Ini adalah kegagalan korum, jadi kes itu tidak didengar dengan sempurna,” katanya.

Dalam kes Najib, fakta terkuat ialah kesnya tidak dapat dibentangkan dengan baik kerana tiada peguam, katanya.

“Ini bukan alasan. Nanti semua orang boleh kata peguam mereka teruk. Ini tidak boleh disemak,” katanya. – 23 Ogos, 2022.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan