Iklan

Belum pasti kesan Najib dipenjara, kata penganalisis, akar umbi Umno

najib src federal court
Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib Razak kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2022.
Iklan

SABITAN Najib Razak dalam perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd mungkin mempunyai beberapa kesan kepada masa depan Umno dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, kata penganalisis politik.

Di satu pihak, sabitan bekas perdana menteri itu berpotensi mengukuhkan kedudukan Ismail Sabri, tetapi ia juga mungkin bermakna berakhirnya kluster mahkamah Umno.

Penyokong akar umbi Umno bagaimanapun berpendapat tidak akan ada perubahan dalam parti susulan keputusan itu semalam.

Penganalisis politik Oh Ei Sun berkata keputusan dalam kes Najib tidak akan ada kaitan dengan Umno.

“Tidak, ia tidak akan menjejaskan Umno,” kata Oh kepada The Malaysian Insight.

“Masih ada proses pengampunan, dan Najib dengan pantas membentuk imejnya sebagai mangsa yang dianiaya secara politik.”

Semalam, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Najib dan mengekalkan hukumannya dalam kes SRC International dalam keputusan sebulat suara.

Mahkamah tertinggi memerintahkan ahli Parlimen Pekan itu memulakan hukuman penjara 12 tahunnya serta-merta.

Di samping itu, bekas perdana menteri itu perlu membayar denda RM210 juta dan jika gagal membayar, tambahan lima tahun penjara lagi.

Mahkamah tertinggi lima orang itu dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat. Anggota panel Mahkamah Persekutuan yang lain ialah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Kanan P Nallini, Mary Lim Thiam Suan, dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang dinaikkan ke Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta, jika gagal penjara lima tahun, dalam kes salah guna kuasa.

Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukumannya.

Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar, seorang penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata sama ada sabitan Najib akan memberi kesan atau tidak, bergantung kepada siapa yang mengawal naratif itu.

“Sekiranya Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menganggapnya sebagai tidak adil dan menyalahkan badan kehakiman dalam hal ini, dan ahli Umno memilih untuk menyokong naratif ini, ia sebenarnya boleh mengukuhkan asas sokongan Najib dan Zahid,” kata Tunku Mohar.

“Bagaimanapun, jika pihak yang mengawal naratif dapat menyifatkan ini sebagai satu kebaikan dengan Ismail Sabri menegakkan kebebasan badan kehakiman, sokongan kepada Ismail Sabri mungkin meningkat.”

Bagaimanapun, James Chin dari Universiti Tasmania berpendapat sabitan Najib akan memberi manfaat kepada Ismail Sabri.

“Dengan keputusan bersalah, Najib dan kumpulan Zahid akan keluar dan Ismail Sabri boleh memanggil pilihan raya dan beliau mungkin akan menjadi presiden parti (dan sebagai PM),” kata Chin.

Tiada kesan kepada Umno

Mustapha Yaakub, setiausaha agung Kelab Veteran Umno berkata, jika ada pun, keputusan mahkamah akan mengukuhkan Umno.

“Tiada kesan kepada Umno. Ia akan menjadi lebih kuat,” kata Mustapha.

“Penganalisis meramalkan Ismail Sabri akan dapat menyatukan kuasa dan menyebabkan Umno berpecah, tetapi mereka sering tersilap.

“Ahli Umno lebih matang dari segi politik. Mereka tidak mementingkan pemimpin tetapi mementingkan parti.”

Ketua Umno Bahagian Pokok Sena, Said Ali juga menyuarakan sentimen yang sama, tetapi mengingatkan mungkin terdapat perubahan dalam pandangan umum mengenai bagaimana Najib dilayan oleh mahkamah.

“Tiada kesan kepada Umno tetapi beliau tidak diberi peluang untuk mempertahankan dirinya,” kata Ali.

“Walaupun saya tidak boleh mengulas mengenai badan kehakiman, daripada apa yang saya perhatikan, nampaknya beliau tidak diberi peluang yang adil.”

Sama ada sabitan itu akan memberi kesan kepada Ismail Sabri atau tidak, Ali berkata ia masih perlu dilihat.

“Najib masih mempunyai jutaan penyokong di media sosial.

“Kita kehilangan seorang yang mempunyai pengetahuan untuk membahaskan tuduhan yang dilemparkan kepada Umno,” tambahnya. – 24 Ogos, 2022.  

Iklan
Iklan