Iklan

Faktor politik penentu bila PRU15 sesuai diadakan, kata penganalisis

Raevathi Supramaniam2 years ago24th Aug 2022Berita
Kl city
Penganalisis ekonomi berkata meski pilihan raya sesuai diadakan ketika ekonomi berkembang positif, namun Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan mengambil kira pertimbangan lain yang lebih utama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2022.
Iklan

FAKTOR ekonomi akan menjadi pertimbangan terakhir dalam menentukan bilakah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sedia untuk dilaksanakan, kata pakar.

Penganalisis ekonomi dari Universiti Sunway Yeah Kim Leng berkata meski pilihan raya sesuai diadakan ketika ekonomi berkembang positif, namun Ismail Sabri akan mengambil kira pertimbangan lain yang lebih utama.

“Sudah tentu paling sesuai bagi perti pemerintah adakan pilihan raya apabila ekonomi dalam keadaan baik. 

“Bagaimanapun di Malaysia terdapat faktor lain yang diambil kira. Lebih-lelbih lagi apabila ada persaingan politik dalam gabungan parti pemerintah.

“Maka dalam situasi ini pertimbangan dari segi ekonomi tidak akan jadi faktor utama untuk pilihan raya diadakan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut Yeah, pertumbuhan ekonomi negara diramal kekal positif hingga tahun depan, bermakna cukup sesuai jika PRU15 dilaksanakan.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam laporan Kajian Ekonomi dan Kewangan 2021 (EMR 2021) yang dikeluarkan pada Mac berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka terus bertambah baik dengan berkembang antara 5.3% dan 6.3% tahun ini, meningkat daripada pertumbuhan 3.1% pada 2021.

Ini akan disokong oleh pengembangan berterusan dalam permintaan luar, penarikan balik sepenuhnya langkah-langkah pembendungan, pembukaan semula sempadan antarabangsa dan keadaan pasaran buruh/tenaga kerja yang semakin baik, kata BNM.

Sementara itu, BNM dalam kenyataan pada 12 Ogos berkata ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 8.9% pada suku kedua 2022 susulan permintaan domestik yang kukuh, disokong oleh pemulihan keadaan pasaran pekerja serta sokongan dasar yang berterusan.

Bank pusat itu juga menyifatkan peningkatan pertumbuhan itu mencerminkan kegiatan ekonomi yang kembali normal apabila negara beralih ke fasa endemik serta pembukaan semula sempadan antarabangsa.

Pertumbuhan itu juga lebih kukuh berbanding 5.0% yang dicatatkan pada suku pertama 2022, sekali gus menjadikan pertumbuhan pada separuh pertama 2022 sebanyak 6.9%, katanya.

Adakah pertumbuhan positif ekonomi benar-benar dirasai rakyat, soal penganalisis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2022.

Rakyat tidak nikmati pertumbuhan ekonomi 

Penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata walaupun ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan positif, ia bagaimanapun tidak menggambarkan situasi sebenar yang dialami rakyat.

“Apa yang kerajaan perlu pertimbangkan ialah sama ada rakyat dapat menikmati kesan positif tersebut.

“Saya fikir rakyat masih bergelut dengan harga barang keperluan yang masih tinggi manakala gaji tidak berubah.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia meningkat 3.4% tahun ke tahun kepada 127.4 pada Jun 2022 berbanding 123.2 pada Jun 2021, melepasi purata inflasi di Malaysia bagi tempoh Januari 2011 hingga Jun 2022 sebanyak 1.9%.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan pada Julai lalu berkata indeks makanan meningkat 6.1% dan kekal sebagai penyumbang utama kenaikan inflasi pada bulan tersebut. – 24 Ogos, 2022.     

Berita penuh di sini

Iklan
Iklan