Umno akan tekan Ismail Sabri cepatkan PRU15, kata penganalisis
Iklan
SELEPAS Najib Razak dipenjarakan kerana menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dijangka akan menerima tekanan daripada partinya Umno supaya pilihan raya umum diadakan segera, kata penganalisis politik.
Tekanan itu sudah pastinya oleh puak dalam parti yang sehaluan dengan Najib yang juga ahli Parlimen Pekan, tambah mereka.
Pemerhati politik juga berpendapat inilah peluang untuk Ismail Sabri mengukuhkan kedudukannya dalam Umno yang mana beliau naib presiden, serta jawatannya sebagai perdana menteri.
Semalam, Najib dihantar ke Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atasnya kerana menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.
James Chin dari Universiti Tasmania memberitahu The Malaysian Insight, Ismail Sabri tidak perlu bimbang kerana Umno sebelum ini sebulat suara telah memutuskan beliau sebagai calon perdana menteri bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Hukuman ke atas Najib juga katanya membolehkan Umno membuktikan bahawa parti itu tidak pernah mencampuri urusan mahkamah melibatkan pemimpinnya.
“Pemenang dalam situasi ini sudah tentu Ismail Sabri. Beliau tak perlu lagi risau kerana telah dicalonkan sebagai PM.
“Saya melihat kes Najib memberi kesan positif kepada Umno sekali gus mereka boleh mendakwa mereka tidak campur tangan,” katanya.
Pada 28 Julai 2020, hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini hakim Mahkamah Rayuan) mendapati Najib bersalah atas tujuh tuduhan membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC.
Hakim Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun masing-masing terhadap tiga pertuduhan jenayah pecah amanah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram, serta 12 tahun penjara dan denda RM210 juta, atau lima tahun penjara jika gagal bayar, bagi kesalahan salah guna kuasa.
Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman itu pada Disember tahun lepas dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan terhadapnya.
Sementara itu, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia bagaimanapun berkata Ismail Sabri perlu berhati-hati kerana tidak mustahil ada rancangan untuk menjatuhkan ahli Parlimen Bera itu.
Beliau juga berkata oleh kerana Umno kini terpalit dengan beberapa isu termasuk skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang membabitkan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi, maka Ismail Sabri tidak mungkin akan mempercepatkan PRU15.
“Ismail Sabri perlu berwaspada. Dia perlu rancang langkah dengan teliti tetapi berserta keyakinan.
“Terlalu banyak masalah dalam Umno sekarang. Beliau akan fikir dua kali kerana ketika ini pembangkang ada peluru untuk serang Umno, katanya.
Gesaan supaya PRU15 dipercepatkan diulang berkali-kali oleh Umno, terutamanya Zahid.
Katanya inilah masa yang paling sesuai untuk Ismail Sabri bubar Parlimen untuk PRU15 diadakan.
Mac lalu, Zahid berkata perdana menteri tidak boleh lagi mempercayai memorandum persefahaman yang dimeterai antara kerajaan dengan Pakatan Harapan tahun lalu. – 24 Ogos, 2022.