Banyak boleh dibuat pada tahun pertama Ismail sebagai PM, kata kumpulan hak asasi
Iklan
TERDAPAT berbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin masyarakat sivil mengenai kepimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan cara kabinetnya menangani isu-isu nasional ketika tempoh perkhidmatannya melepasi satu tahun.
Walaupun ada yang mengatakan Ismail boleh menjalankan tugas dengan lebih baik, ada yang berpendapat apa yang boleh dilakukan oleh ahli Parlimen Bera adalah terhad berikutan senario politik negara, yang bergolak sejak beberapa tahun lalu.
Pemimpin berusia 62 tahun itu menjadi perdana menteri ke-9 negara pada Ogos 2021 menggantikan Muhyiddin Yassin yang kehilangan sokongan ahli Parlimen Umno.
Sebelum dilantik sebagai PM, Ismail berkhidmat sebagai menteri kanan di bawah kerajaan Perikatan Nasional yang diket.ai oleh Muhyiddin.
Umno adalah sebahagian daripada kerajaan Muhyiddin bersama PAS sebelum parti nasionalis Melayu itu memutuskan untuk membelakangkan parti itu. Ismail yang merupakan anak kelahiran Temerloh mengangkat sumpah sebagai PM dengan sokongan ahli Parlimen Bersatu, PAS dan Umno.
Pengerusi Bersih Thomas Fann berkata walaupun Ismail tidak mempunyai mandat rakyat untuk memerintah, beliau berjaya membawa beberapa tahap kestabilan selepas menandatangani Memorandum Persefahaman untuk Transformasi dan Kestabilan Politik dengan Pakatan Harapan.
Di bawah MOU itu, pelbagai pembaharuan telah dicadangkan dengan undang-undang antilompat parti untuk ahli Parlimen dilaksanakan. Rang undang-undang itu telah diluluskan melalui Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan dijangka berkuat kuasa bulan depan.
Fann berkata Ismail berpotensi untuk melakukan lebih baik jika beliau meneruskan pembaharuan yang dicadangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.
Beliau berkata MOU itu telah memberikan kestabilan yang diperlukan Ismail dan beberapa pembaharuan yang telah dicapai oleh Pembangkang.
“Ismail telah menjanjikan lebih banyak pembaharuan seperti Rang Undang-undang Pembiayaan Politik, MyGovernance dan pemisahan pendakwa raya daripada Pejabat Peguam Negara.
“Jika beliau melaksanakan semua pembaharuan ini sebelum PRU15, beliau akan mencatat sejarah sebagai PM paling “reformis” di Malaysia, meninggalkan legasi positif untuk dirinya.
“Untuk kestabilan yang dibawanya ke negara ini melalui MOU dan janji-janji yang telah beliau tunaikan, saya akan menilai dia C+, tetapi beliau berpotensi untuk melakukan lebih baik dengan memenuhi janji yang belum dilaksanakan,” kata Fann.
Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) berkata dalam tempoh setahun, terdapat beberapa perkembangan positif dalam sektor perhutanan dan alam sekitar walaupun tiada yang konkrit diperhatikan.
Presiden Peka yang baru dilantik Damien Thanam Divean berkata adalah lebih baik jika PM dapat meningkatkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan Kementerian Air dan Alam Sekitar (KASA) ke tahap yang lebih tinggi.
“Satu tahun adalah masa yang sangat singkat untuk benar-benar menilai seorang perdana menteri, khususnya di Malaysia. Bagaimanapun, terdapat pembangunan dalam skop perhutanan dan alam sekitar tetapi hanya di peringkat dasar. Tiada apa-apa yang konkrit dapat diperhatikan di lapangan.”
Beliau berkata beberapa contoh ialah pindaan Akta Perhutanan di Parlimen oleh Menteri KeTSA dan pindaan akan datang di Parlimen pada Oktober berkaitan perlindungan alam sekitar oleh menteri alam sekitar.
“Pindaan dan cadangan yang akan datang ini sangat menggalakkan tetapi ia akan menjadi legasi yang besar bagi perdana menteri jika beliau boleh membuatkan kedua-dua menteri KeTSA dan KASA untuk menjadikan negeri kelahiran mereka Kelantan yang mana mereka adalah ahli Parlimen, sebagai contoh untuk diikuti oleh negeri-negeri lain,” katanya.
Lindungi hak asasi manusia
Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mahu Ismail melakukan lebih banyak lagi dalam melindungi dan menegakkan isu hak asasi manusia.
Pengarah eksekutifnya Sevan Doraisamy, berkata peningkatan semasa dalam jumlah kematian dalam tahanan serta cara Kementerian Dalam Negeri menangani isu hak asasi manusia membimbangkan.
“Ambil perhimpunan aman sebagai contoh. Akhir-akhir ini, polis jika mereka perlu mengambil kenyataan daripada penganjur atau peserta perhimpunan, mereka akan memanggil 20 hingga 30 individu. Ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata Sevan.
“Dalam era digital ini, polis tidak perlu memanggil ramai orang, sudah ada rakaman video dan audio yang boleh mereka gunakan untuk tujuan siasatan.
“Malah 20 tahun lalu, polis tidak pernah memanggil 20 orang untuk direkodkan kenyataan mereka. Ini satu pembaziran sumber.
“Kami tidak banyak mendengar daripada Ismail mengenai isu hak asasi manusia. Walaupun perkara berubah di Parlimen, contohnya undang-undang antilompat parti, kematian dalam tahanan dan salah guna kuasa masih berleluasa,” katanya.
Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Nadzim Johan merasakan Ismail telah mencuba sedaya upaya untuk membetulkan keadaan negara.
Aktivis itu mengakui walaupun lebi banyak perkara yang boleh dilakukan Ismail, usaha yang ditunjukkan oleh pemimpin Umno itu mesti dipuji.
“Isu makanan, kos sara hidup yang tinggi belum diselesaikan. Itu kita perlu akui. Keadaan boleh menjadi lebih baik dan beliau boleh melakukannya dengan lebih baik.
“Bagaimanapun, kita harus memujinya atas usaha yang beliau lakukan untuk menyelesaikan masalah. Ya beliau boleh melakukan lebih banyak, tetapi pada tahun pertamanya, saya katakan beliau telah menjalankan tugas yang baik. Jika kita boleh memberi lebih banyak masa, mungkin kita boleh nilaikan beliau lagi,” katanya.
Beliau berkata kerajaan Ismail turut menyediakan pelbagai subsidi penggunaan, termasuk air dan elektrik serta minyak masak.
Walaupun Putrajaya membatalkan subsidi minyak masak dalam botol, harga siling ayam dan telur, serta subsidi bahan api, kekal. – 24 Ogos, 2022.