'Lanai MIP' sudut bacaan terbuka untuk golongan kurang bernasib baik

Iklan
DI pusat bandar Kuala Lumpur, sebuah sudut bacaan kecil dengan konsep terbuka menjadi tumpuan keluarga berpendapatan rendah dan pelancong yang ingin tahu.
Suri rumah, Nur Hidayah, 28, dari Sabah sedang melihat koleksi buku bersama suami dan tiga anak kecil mereka ketika ditemui pada petang Sabtu.
“Saya sedang mencari tempat (seperti ini). Saya hendak bawa anak-anak saya ke perpustakaan tetapi saya bimbang akan disuruh beredar kepada berbuat bising,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Kedua-dua anaknya – berusia empat dan enam tahun – memintanya membacakan buku yang mereka temui manakala yang paling muda, berusia dua tahun, diam sambil berpaut pada bapanya.
Dilengkapi pelbagai koleksi fiksyen, majalah dan buku kanak-kanak secara terutamanya dalam bahasa Inggeris, sudut bacaan terbuka di depan kafe komuniti “Pit Stop” di Jalan Tun HS Lee ditubuhkan oleh Institut Perancang Malaysia (MIP) pada awal Februari.
“Sebelum ini, ia hanya ruang kosong. Kita mempunyai banyak ruang tidak aktif di KL yang boleh ditukarkan menjadi ruang komuniti,” kata penyelaras projek dan Ahli Jawatankuasa Pembangunan MIP, Juwariyah Ho.
Beliau berkata ruang yang dipanggil “Lanai MIP” itu disediakan untuk pameran World Urban Forum yang berlangsung di ibu negara dari 6 Februari hingga 13 Februari lalu.
“Kami sangat terkejut kerana ramai orang menggunakannya. Kami berharap DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) akan membenarkan kami mengubahnya menjadi struktur tetap,” kata Ho.
Beliau berkata mereka menerima permintaan untuk meletakkan lebih banyak buku dalam bahasa Melayu dan Mandarin serta menjalankan aktiviti komuniti di ruang itu.
Bandar raya untuk semua
Selain berfungsi sebagai ruang pendidikan percuma untuk golongan muda dan masyarakat kurang bernasib baik, Ho berkata Lanai MIP juga boleh menjadi kajian kes bagi pelajar perancang bandar.
“Kami membawa pelajar-pelajar perancang bandar dari UIA (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) ke sini. Mereka hanya belajar teori mengenai ‘place-making’, di sini mereka melihat apa yang dimaksudkan (dalam kehidupan sebenar),” kata Ho.
Beliau menjelaskan “place-making” adalah konsep pembangunan mampan untuk mewujudkan ruang yang inklusif bagi semua, termasuk ahli masyarakat yang kurang bernasib baik.
“Kami berharap ini akan membuka mata pihak majlis tempatan. Sebelum ini, beberapa orang ragu-ragu mengenai inisiatif kami, memberi amaran kepada kami yang buku-buku itu akan dicuri.
“Tetapi apa yang kami dapati, orang sebenarnya meminta kebenaran daripada sukarelawan kami untuk membaca buku,” kata Ho.
Seminggu selepas mengeluarkan sukarelawan daripada tempat itu, ruang itu kekal baik dan bebas daripada vandalisme.
Ho berkata Majlis Perbandaran Petaling Jaya dan Shah Alam juga menyatakan minat untuk mewujudkan ruang komuniti seperti itu di bandar mereka.
“Mudah-mudahan ia akan membantu kita membawa kembali budaya membaca,” katanya.
Tarikan pelancong
Pemasangan replika bas mini di laman ini juga menjadi popular di kalangan pelawat tempatan dan asing.
Puluhan pelancong berhenti untuk mengambil gambar dengan replika bas mini itu dalam tempoh kurang dua jam semasa kunjungan The Malaysian Insight ke tempat ini.
“Ramai orang muda tidak tahu ruang ini pernah menjadi hab bas mini. Hanya generasi lebih tua menghargai nilai sejarah ruang ini.
“Jika anda memberitahu mereka Bangkok Bank, secara automatik mereka akan ingat ini adalah hab bas mini tetapi orang muda tidak,” kata Ho.
Oleh itu, beliau berkata MIP juga mempertimbangkan untuk memasang bas mini sebenar bagi menempatkan buku sekiranya DBKL membenarkan institut itu mengekalkan ruang untuk beberapa tahun, jika bukan secara kekal.
“Kita boleh mempunyai sebuah galeri untuk mendidik orang muda mengenai bas mini, sebahagian daripada warisan bandar,” kata Ho, seorang perancang bandar yang mempunyai pengalaman lebih daripada dua dekad. – 25 Februari, 2018.