Hukuman lebih keras untuk pelumba haram hanya permulaan, kata pakar
Iklan
KEPUTUSAN Putrajaya mengenakan denda lebih berat terhadap pesalah lumba haram adalah permulaan yang baik tetapi masih banyak lagi perlu dilakukan, kata pakar.
Sebaik saja pindaan dibuat, katanya perlu ada penguatkuasaan yang efektif supaya ia tidak sekadar menjadi gimik undang-undang.
Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia Profesor Law Teik Hua berkata masih banyak penambahbaikan perlu dilakukan dalam pindaan itu.
“Meminda undang-undang itu perkara baik, tetapi banyak perincian lain perlu diselesaikan terlebih dulu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Pertama sekali, pihak berkuasa perlu dengan jelas menentukan apa yang menjadikan seseorang itu pelumba haram.
“Jika saya menunggang seorang dengan kelajuan lebih 120km sejam, adakah ia dianggap lumba haram? Jika saya didakwa atas kesalahan itu, apa peruntukan undang-undangnya?
“Bagaimana dengan penonton? Adakah mereka juga akan didakwa? Bagaimana kalau saya tersilap tiba-tiba berada di tempat berlangsungnya lumba haram, adakah saya perlu beredar serta-merta,” katanya.
Beliau berkata jika kerajaan turut bercadang untuk menghukum bengkel ubah suai motosikal, mereka perlu menentukan apa yang haram.
“Jika tidak mereka akan membuat pemilik bengkel dalam dilema.”
Kementerian Pengangkutan bercadang untuk meminda Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap individu yang terbabit dalam aktiviti lumba haram.
Ketua setiausahanya, Isham Ishak berkata hukuman lebih berat akan membabitkan denda dinaikkan daripada RM300 kepada jumlah lebih besar, mungkin antara RM5,000 dan RM10,000, selain hukuman penjara.
Isham berkata pindaan itu juga membolehkan tindakan diambil terhadap bengkel yang mengubah suai motosikal untuk keguaan mat rempit.
Katanya, tindakan juga boleh diambil terhadap ibu bapa yang membenarkan anak di bawah usia 18 tahun menyertai aktiviti lumba haram sementara penonton dan penyokong lumba haram juga akan dikenakan hukuman.
Pindaan terbaru itu adalah kali ketiga bagi akta berkenaan bagi mengenakan hukuman lebih berat kepada pemandu mabuk selain undang-undang untuk pemandu e-hailing.
Isham berkata pindaan itu akan dibentangkan di Parlimen pada sidang Dewan Rakyat tahun depan dan satu pasukan petugas khas ditubuhkan bagi mengkaji perkara itu.
Law berkata sebaik saja ia dibawa ke Parlimen, ahli Parlimen akan dapat mengemukakan lebih banyak soalan.
“Jika ia hanya gimik dan diluluskan, ia tidak akan beri kebaikan, hanya seperti pindaan memakai tali pinggang keledar bagi penumpang kerusi belakang.
“Pindaan itu tidak patut dibuat secara tergesa-gesa. Lumba haram sudah menjadi masalah sejak 40 tahun lalu,” katanya. – 25 Ogos, 2022.