Idea bina litar lumba drag mungkin ‘makan diri’, kata bekas ketua polis
Iklan
KAJIAN menyeluruh dan penilaian mendalam perlu dilakukan sebelum Putrajaya berhasrat untuk membina litar perlumbaan drag dalam usaha membendung kegiatan lumba haram serta meningkatkan pembangunan sukan permotoran di negara ini, kata bekas ketua polis Kuala Lumpur Dell Akbar Khan.
Dell yang pernah membanteras perlumbaan haram, memberitahu The Malaysian Insight tanpa kajian mendalam, idea untuk menjadikan kegiatan lumba haram selamat mungkin memakan diri.
“Ketika saya mencadangkan Mat Rempit (pelumba haram) dibenarkan berlumba di litar perlumbaan yang betul pada 80-an, ideanya adalah untuk memastikan aktiviti itu selamat.
“Sedikit yang kita tahu ketika itu, selepas perlumbaan (di litar itu), Mat Rempit ini akan terus berlumba secara haram di jalanan, sebaik sahaja mereka tamat di litar.
“Kami fikir dengan membenarkan mereka melakukannya di trek yang betul, masalah itu akan diselesaikan tetapi ia tidak menghalang mereka daripada berlumba secara haram,” kata Dell yang juga bekas timbalan ketua polis trafik.
Dell berkata kerajaan mesti membuat kajian mendalam bagi meneliti isu ini.
Dell bertanggungjawab mengumpulkan pelumba haram sebelum membenarkan mereka berlumba di litar Batu 3 Shah Alam pada 80-an.
Baru-baru ini, dalam satu acara di Kuala Terengganu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata Putrajaya bercadang membina litar perlumbaan drag di setiap negeri bagi meningkatkan pembangunan sukan permotoran di negara ini.
Perdana menteri berkata cadangan itu akan dimasukkan dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan Oktober ini.
Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera menambah, dengan adanya kemudahan sebegitu, belia berpeluang menyertai aktiviti sukan permotoran melalui saluran yang betul.
Beliau turut menggesa belia menyertai MyFit@Motorsports 2022, iaitu program pembangunan sukan permotoran akar umbi di bawah Kementerian Belia Dan Sukan.
Beliau berkata program itu akan merangkumi kursus latihan dan klinik berkaitan untuk meningkatkan pengetahuan belia mengenai sukan permotoran.
Dell, bagaimanapun, berkata penemuan kajian itu mestilah tidak berat sebelah.
Beliau berkata penyelesaian menang-menang perlu dibangunkan antara kerajaan dan belia sekiranya Putrajaya ikhlas memajukan sukan itu.
“Masa sudah berubah, begitu juga dengan Mat Rempit. Cabaran dan halangan lebih besar daripada sebelumnya,”
“Jika tidak ada perancangan dan kajian yang betul, idea itu mungkin tidak membuahkan hasil,” tambahnya. – 25 Ogos, 2022.