Penduduk Pekan sukar terima nasib menimpa Najib
Iklan
PENDUDUK Pekan, Pahang sukar untuk menerima nasib yang diterima Najib Razak apabila Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara pada Selasa.
Mereka masih dalam keadaan terkejut dan tidak percaya pemimpin kesayangan mereka dituduh melakukan jenayah itu dan sedih dengan pemenjaraan serta-merta beliau.
Penduduk di kawasan itu memberitahu The Malaysian Insight mereka kini merasai kehilangan kerana Najib menjadi ahli Parlimen di Pekan selama 46 tahun.
Najib dipilih sebagai ahli Parlimen Pekan pada usia 23 tahun bagi menggantikan bapanya, perdana menteri ketika itu Abdul Razak Hussein, yang meninggal dunia sebagai penyandang pada 1976.
Beliau berkhidmat satu penggal sebagai menteri besar dari 1982 hingga 1986 dan merupakan wakil rakyat kerusi DUN Bandar Pekan dalam kawasan Parlimen Pekan.
Penduduk Pekan, yang tinggal tidak jauh dari rumah Najib, di seberang Jalan Pekan Gambang, memberitahu The Malaysian Insight yang walaupun Najib tidak lagi menjadi ahli Parlimen mereka, sokongan terhadap Umno tidak akan goyah.
Noraini Ahmad, 37 yang menjual pelbagai jenis makanan ringan di Kampung Maulana berkata beliau tidak percaya dengan berita pemimpin itu dihantar ke penjara serta-merta.
“Kami hanya terkejut apabila mendengar berita itu dan tidak percaya.
“Kami mendapati sukar untuk menerima keputusan itu (Najib masuk penjara).”
Beliau berkata Pekan akan sentiasa menjadi kawasan Najib dan penyokongnya sentiasa di sini.
Pada Selasa, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat membatalkan rayuan dan mengekalkan hukumannya dalam kes SRC International.
Mahkamah tertinggi itu memerintahkan beliau memulakan hukuman penjara 12 tahun serta-merta.
Di samping itu, Najib perlu membayar denda RM210 juta dan jika gagal membayar, penjara lima tahun.
Halimah Ahmad, 65 yang merupakan penyokong tegar Wanita Umno selama bertahun-tahun tidak pernah menjangkakan keputusan secepat itu dalam kes Najib.
“Kami kehilangan seorang tokoh terkemuka di sini dan tidak pernah menjangkakan keputusan itu,” kata Halimah.
“Kami sedih kerana walaupun selepas Barisan Nasional (BN) tumbang dalam pilihan raya umum lalu beliau masih meneruskan usaha membantu rakyat di sini dengan memberi bantuan dan menolong dalam hal-hal lain.”
Suri rumah Aida Hanum Abu Bakar, 32, tidak menyangka beliau (Najib) akan mendapat hukuman penjara 12 tahun dan ditahan begitu cepat.
“Keputusan (Mahkamah Persekutuan) amat mengejutkan.”
Pemilik kedai telefon bimbit Tan Tong Kuang juga dalam keadaan tidak percaya dengan keputusan pantas mahkamah.
“Kami tidak pernah menjangka Najib akan mendapat keputusan itu (bersalah). Kami menjangkakan peguam akan berbuat lebih banyak untuk membantunya.
Beliau berkata walaupun kehilangan ahli Parlimen mereka, beliau akan terus menyokong BN.
“Kami kehilangan ahli Parlimen kami, tetapi kami terus menyokong BN dan mana-mana calon yang mereka pilih untuk bertanding di sini.”
Pesara P. Muniandy, 76, berkata berasa kasihan dengan Najib selepas mendengar berita itu.
“Saya berasa kasihan dan risau dengannya.
“Setiap PM (perdana menteri) mempunyai masalah mereka, tetapi tidak sampai ke peringkat ini (dipenjara).”
Penjual ikan Roslan Osman yang memiliki gerai di Taman Mulauana berasa keputusan itu tidak adil.
“Tetapi, kami akan terus menyokong BN walau apa cara sekalipun.
“Kami akan terus menyokong Umno walaupun beliau dalam penjara.”
Anggota panel Mahkamah Persekutuan yang lain ialah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim kanan P Nallini, Mary Lim Thiam Suan, dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun dan denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) dalam kes salah guna kuasa.
Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukumannya. – 25 Ogos, 2022.