Iklan

Rafizi cabar Latiff saman dakwaan skandal LCS

Raevathi Supramaniam2 years ago26th Aug 2022Berita
Rafizi ramli invoke tmikamal 02  full
Rafizi Ramli berkata bekas timbalan menteri Abdul Latiff Ahmad gagal membidas fakta yang didedahkan setakat ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2022.
Iklan

ABDUL Latiff Ahmad perlu memfailkan tindakan undang-undang terhadap mereka yang mendakwa beliau ada kaitan dengan transaksi mencurigakan melibatkan projek kapal tempur pesisir (LCS), kata Rafizi Ramli hari ini.

Timbalan presiden PKR itu menjawab penafian Latiff yang wanita dinamakan dalam laporan audit forensik LCS bukan isterinya seperti dilaporkan.

“Ia hanya penafian di Facebook. Beliau tidak sedikit pun membidas fakta-fakta yang telah dikongsi dengan rakyat setakat ini,” kata Rafizi dalam satu kenyataan.

“Jika Latiff tidak ada kaitan dengan Zainab dan dia (atau keluarganya) tidak terlibat dengan kontrak-kontrak projek LCS atau pertahanan laut negara, beliau perlu mengambil tindakan saman dengan serta-merta ke atas BHIC (tuan punya Laporan Forensik Kapal LCS), Alliance IFA (M) Sdn Bhd (juru audit yang dilantik BHIC untuk menyiasat projek kapal LCS) dan saya (yang mendedahkan perkara ini).”

Awal minggu ini, Rafizi mendakwa berdasarkan siasatan kerajaan, sebuah syarikat luar pesisir yang terlibat dalam penyelewengan lebih RM233 juta, mempunyai kaitan dengan isteri Latiff, seorang menteri dalam pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Rafizi, Zainab ialah isteri kedua Latiff dan beliau adalah ahli Parlimen Mersing ketika skandal yang didakwa berlaku sebelum beliau bertukar kepada Bersatu daripada Umno selepas pilihan raya 2018.

Beliau berkata Zainab adalah pemegang saham dalam Alizes Marine Limited, satu daripada dua syarikat luar pesisir yang ditubuhkan bagi menyelewengkan dana projek LCS dengan nilai siling RM9 bilion dari 2011 hingga 2014.

Latiff adalah timbalan menteri pertahanan dari 2008 hingga 2013, manakala menteri ketika itu ialah Ahmad Zahid Hamidi, kini presiden Umno.

Rafizi berkata siasatan dalaman skandal LCS dan semakan susulannya sendiri menunjukkan dua syarikat palsu menggunakan nama Alizes Marine didaftarkan.

Beliau berkata sebuah firma bernama Alizes Marine Limited didaftarkan di Malta dan sebuah lagi bernama Alizes Marine Labuan didaftarkan di Labuan.

Beliau menambah kedua-dua firma itu mempunyai status luar pesisir dan boleh dikesan.

Kewujudan Alizes Marine Limited hanya diketahui apabila pangkalan data syarikat luar pesisir itu dibocorkan oleh pemberi maklumat dalam yang dikenali sebagai Panama Papers dan Paradise Papers.

Latiff bagaimanapun menafikan Zainab adalah isterinya.

“Apabila Latiff hanya menafikan di Facebook, itu bermakna beliau menuduh juru audit yang dilantik Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC), iaitu Alliance IFA (M) Sdn Bhd menipu, apabila laporan juru audit menamakan Zainab Mohd Salleh sebagai isteri beliau dan menunjukkan keterlibatan Latiff dalam kontrak-kontrak projek LCS..

“Penafian Facebook Latiff juga samalah seperti menuduh rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menipu, sedangkan rekod itu menunjukkan Latiff mempunyai hubungan dengan Zainab melalui pemilikan bersama Mega P Asia Sdn Bhd.”

Sekiranya tindakan undang-undang ini tidak diambil segera, Rafizi berkata rakyat akan menghukum Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 kerana melindungi mereka yang terlibat dalam skandal itu.

Malaysia kembali digemparkan baru-baru ini dengan isu perolehan LCS yang sudah lama menjadi tumpuan selepas PAC mengeluarkan laporannya mengenai kegagalan perolehan.

Laporan itu mendedahkan ia mengadakan sembilan prosiding bermula dari 18 November 2020, yang terakhir diadakan pada 8 Mac tahun ini, dengan memanggil beberapa saksi.

PAC mendapati kontrak itu diberikan kepada BNS melalui rundingan terus, dengan kerajaan membayar RM6.08 bilion, tetapi tiada satu pun LCS dihantar.

Mengikut jadual asal, lima kapal sepatutnya siap dan diserahkan pada bulan ini.

Projek itu dimulakan di bawah pentadbiran Najib Razak, ketika Zahid menjadi menteri pertahanan. – 26 Ogos, 2022.

Iklan
Iklan