Iklan

Melayu perlu bersatu untuk bebaskan negara dari korupsi, kata Dr Mahathir

Raevathi Supramaniam2 years ago27th Aug 2022Berita
Mahathir 270822 tmiseth 03
Melayu sekarang perlu bersatu untuk menghapuskan korupsi dalam negara, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 27 Ogos, 2022.
Iklan

MELAYU perlu bersatu dan memimpin negara menuju masa depan yang bebas korupsi, kata Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Pengerusi Gerakan Tanah Air itu berkata demikian pada majlis pelancaran Konvensyen Nasional Berjasa pagi ini.

Beliau mengakui yang ada kekuatan dalam perpaduan Melayu kerana mereka adalah 70% penduduk Malaysia, tetapi ia tidak bermakna apa-apa kerana sebilangan mereka korup.

“Mereka kata Malaysia perlu bersatu, kita terima yang bersama-sama beri kita kekuatan, tetapi kita tidak boleh bersatu dengan mereka yang tiada moral dan prinsip, mereka yang pentingkan diri sendiri dan korup. Kita tak boleh sertai mereka,” kata Dr Mahathir yang juga pengerusi Pejuang.

“Pada masa dulu kita bersatu untuk melawan British dan kita menang. Kita bersatu untuk merdeka dan kita dapat kemerdekaan. Tetapi perpaduan ini telah dicemarkan oleh pemimpin yang korup dan hanya mahu mengayakan diri mereka sendiri.

“Hari ini, kita perlu menggantikan mereka ini dan kuasa mereka. Sebab itu lah kita ada Gerakan Tanah Air. Pergerakan kita adalah pergerakan Melayu yang sayangkan rakyat, kaum dan agama.”

Tambahnya lagi, GTA hanya akan memilih untuk bekerja dengan parti, individu dan gerakan sivil yang bertanggungjawab, tidak dicemari korupsi dan bukan untuk kepentingan sendiri.

“GTA sudah berjaya menyatukan Melayu yang bersih, yang mahu mengutamakan orang Melayu, bangsa dan negara,” kata bekas perdana menteri dua kali itu.

“Kerana itulah GTA jadi kuat setiap hari. Bila kita berdepan Pilihan Raya Umum ke-15, orang Melayu yang sedar tentang perjuangan kita akan sokong GTA.

“Saya yakin kerana saya sudah bertemu dengan banyak kumpulan Melayu yang kecewa dengan apa yang berlaku di negara ini.”

Konvensyen Nasional Berjasa diadakan hari ini, antara pemimpin yang berucap adalah Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 27 Ogos, 2022.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata lagi, walaupun GTA adalah pergerakan berpusatkan Melayu, ia juga akan bekerja untuk manfaat bukan Melayu.

“Kita bersedia berkongsi negara kita dengan orang lain tetapi ia perlu adil. Kaum lain tak perlu takut dengan GTA walaupun hakikatnya ia terhad kepada orang Melayu.

“Kita nampak yang pemerintahan Melayu juga akan beri manfaat kepada bukan Melayu.”

Dr Mahathir juga meminta ahli GTA menjelaskan kepada rakyat tentang perjuangan mereka.

“Kita perlu jelaskan kepada rakyat apa sebenarnya GTA. Ramai orang masih tidak tahu dan menuduh kita membentuk satu lagi parti Melayu untuk pecah undi.

“Ini tidak benar, kami menyatukan parti Melayu supaya dalam PRU kita tak bergaduh sesama sendiri.”

Katanya lagi, situasi semasa negara juga adalah sebab utama mengapa ramai Melayu-Islam memilih untuk berhijrah.

“Pergaduhan ini menjadi lebih serius sekarang kerana orang Melayu berbeza. Kita Melayu kerana kita Islam. Jadi perjuangan untuk menyatukan Melayu sama seperti kejayaan Islam. Tanpa Melayu di negara ini, Islam akan jatuh.

“Saya sedih tengok ramai berpindah ke luar negara ke negara bukan Islam dan mahu tinggal di sana kerana mereka sudah tidak yakin yang negara kita akan pulih.

“Bila mereka tinggal di negara ini, ia akan serba sedikit menjejaskan amalan beragama mereka. Sebab itu lah kita mahu tadbir urus baik di Malaysia, supaya orang Melayu tidak keluar kerana negara mereka adalah syurga mereka. Ini adalah harapan kita.” – 27 Ogos, 2022.

Iklan
Iklan