Iklan

Tiada parti akan menang 50% undi, kata Dr Mahathir

Raevathi Supramaniam2 years ago27th Aug 2022Berita
Mahathir 270822 tmiseth 02
Pengerusi Gerakan Tanah Air Dr Mahathir Mohamad berucap sempena Himpunan Nasional 2022 Parti Berjasa Malaysia, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 27 Ogos, 2022.
Iklan

TIADA satu parti pun yang mampu memenangi 50% undi pada pilihan raya umum akan datang, kata Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Beliau berkata parti perlu membentuk gabungan untuk mendapatkan majoriti.

“Saya yakin tiada siapa akan menang 50% kali ini. Terdapat banyak parti yang bertanding sekarang, tidak seperti dahulu hanya dua,” kata Dr Mahathir pada perhimpunan kebangsaan Berjasa hari ini.

“Tiada parti yang akan menang cukup kerusi untuk membentuk kerajaan sendiri. Pihak yang paling kuat akan bekerjasama dengan parti lain.

“Mengikut undang-undang antilompat parti, individu tidak boleh menyertai parti lain secara bersendirian tetapi untuk seluruh parti berbuat demikian boleh,” kata pengerusi Gerakan Tanah Air itu.

Beliau juga merupakan pengerusi parti Melayu Pejuang.

Mengenai siapa blok Melayu baharu yang akan bekerjasama, beliau berkata itu akan diputuskan selepas pilihan raya umum.

“Apabila keputusan (pilihan raya) masuk dan tiada siapa mempunyai 50%, kami akan memutuskan apa yang perlu dilakukan.

“Kami tidak mahu seiring dengan parti atau gabungan yang mempunyai objektif mereka sendiri.”

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata malah Umno tidak akan dapat memenangi 50% undi pada pilihan raya umum akan datang.

“Mereka tidak boleh menang jika sendirian. Pilihan raya negeri adalah satu anomali. Ia tidak akan berlaku dalam PRU, ia berbeza,” katanya.

Umno menang besar dalam pilihan raya negeri lepas di Johor, Melaka dan Sarawak.

Beliau juga menolak kemungkinan bekerjasama dengan Umno.

“Sebagai sebuah parti, saya tidak akan menjemput Umno untuk menjadi sebahagian daripada kita. Ia rosak dari pucuk pimpinan sampai ke akar umbi.

“Secara individu kita tiada masalah dengan orang Umno. Ada yang baik dan sebaliknya (di dalam Umno), tetapi sebagai sebuah parti, kita tidak akan bekerjasama dengan mereka. – 27 Ogos, 2022.

Berita penuh di sini

Iklan
Iklan